Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar perbicaraan berkaitan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 MEI 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, syarikat yang diasaskannya memperoleh tender di bawah Program Janawibawa selepas mendapat sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebabkannya bersetuju menyumbang RM1 juta kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Lian Tan Chuan, 55, berkata, beliau percaya Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri berperanan membantu Nepturis Sdn. Bhd. memperoleh tender pra kelayakan bagi melaksanakan projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor.

Menurut beliau yang juga Pengarah Metrasys Sdn. Bhd., surat permohonan awal Nepturis dihantar kepada Muhyiddin untuk mendapatkan sokongannya selaku Perdana Menteri melalui proses penilaian di Kementerian Kewangan (MoF).

Saksi pendakwaan ke-21 yang juga dikenali sebagai TC Lian berkata, ekoran itu, beliau bersetuju memberi sumbangan kepada akaun Bersatu kerana memenuhi permintaan seorang ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff.

Beliau berkata, wang RM1 juta itu bukan derma semata-mata atau diberikan secara rela hati, sebaliknya ia merupakan balasan terhadap sesuatu yang dilakukannya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, TC Lian berkata, beliau tidak akan memberikan sumbangan kepada parti itu jika tidak diminta berbuat demikian oleh Azman.

Pendakwa: Mengapa anda berani memberi RM1 juta meskipun sebelum mendapat surat setuju terima (SST) projek itu?
Saksi: Selepas kami kira, projek ini dapat untung.

Pendakwa: Mengapa berani memberi wang sebesar itu walaupun SST boleh dibatalkan?
Saksi: Ini kerana saya sudah janji dengan Azman.

Pendakwa: RM1 juta itu besar, jika anda tidak beri pada Bersatu apa yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu?
Saksi: Jumlah itu besar, boleh dijadikan modal untuk melaksanakan projek.

Pendakwa: Bezakan maksud derma dan balasan (reward).
Saksi: Derma bermaksud pemberian tanpa dapat apa-apa balasan, tidak terikat dan diberi secara sukarela manakala balasan adalah bagi mendapatkan sesuatu.

Saksi pendakwaan ke-21 itu selanjutnya menyatakan, Nepturis memohon projek itu menerusi bantuan seorang ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad yang juga rakan `golf’ Muhyiddin.

Ahli Perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad hadir ke mahkamah bagi sebutan kes rasuah berkaitan Program Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023. (GAMBAR FAIL)

Ujar TC Lian, beliau mengenali Adam Radlan selepas diperkenalkan oleh Azman yang merupakan ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Katanya, sebelum itu beliau mengenali Azman pada 2018 sewaktu menyertai program CIDB di Sarawak sebelum bertemu beliau untuk merisik peluang kontrak kerajaan sekitar 2020 sewaktu Covid-19.

Katanya, Azman memaklumkan bahawa kerajaan meluluskan Program Janawibawa untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan membantu kontraktor Bumiputera menyertai tender pra kelayakan bagi melaksanakan projek di bawah program itu.

“ Syarikat yang ingin memohon projek di bawah Program Janawibawa perlu mendapat sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Perdana Menteri,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Presiden Bersatu yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan suapan dan pengubahan wang haram.

Menurut saksi, Azman memaklumkan bahawa Adam Radlan rapat dengan Muhyiddin dan boleh membantunya mendapatkan projek Janawibawa.

Kata TC Lian, dalam pertemuan dengan Adam Radlan pada penghujung 2020, beliau menyerahkan lima surat permohonan untuk dimajukan kepada Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan sokongan dan kelulusan Muhyiddin.

Surat-surat permohonan itu disediakan oleh salah seorang rakan kongsinya yang juga pengarah Nepturis, Aliza Abdul Malek.

Menurut TC Lian, Azman kemudian memaklumkan, Nepturis berpeluang cerah untuk menyertai tender pra kelayakan bagi pembinaan IPD Klang Utara dan memintanya menyumbang RM1 juta untuk dibayar terus kepada akaun Bersatu.

Selain itu, katanya, Azman turut menyatakan cadangan untuk melantik syarikatnya, KCJ Engineering Sdn. Bhd. sebagai perunding untuk memberikan khidmat nasihat membuat kajian pasaran pembekal apabila menyertai tender tersebut.

“ Nepturis bersetuju melantik KCJ Engineering sebagai perunding pembangunan perniagaan selama enam bulan bermula 1 Mac 2021 dengan bayaran RM1 juta.

“Saya bersetuju dengan tawaran Datuk Azman kerana saya tiada pengalaman membuat projek pembinaan IPD yang sedikit rumit kerana banyak melibatkan spesifikasi yang berkait dengan teknikal dan keselamatan,” ujarnya.

“Saya memasukkan RM1 juta secara berperingkat ke dalam akaun KCJ Engineering kerana saya banyak meminta bantuan dan khidmat nasihat daripada Datuk Azman semasa proses penyediaan dokumen tender,” ujarnya.

Kata TC Lian, Nepturis kemudian memenangi tender pra kelayakan bagi projek tersebut pada 12 Januari 2022 manakala surat setuju terima (SST) dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast