Lelaki warga Indonesia yang ditahan dipercayai bertindak agresif di KLIA.

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati dan mengeluarkan kata-kata kesat serta ingkar arahan pegawai bertugas, seorang lelaki warga Indonesia ditahan susulan kejadian di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan selepas bertindak agresif dan mencetuskan kekecohan di kaunter transit aras empat Terminal 1 sekitar 7 malam.

“Siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati selepas penerbangannya yang dijadualkan 3 petang untuk membawanya pulang ke Indonesia semalam telah ditunda selama lima jam.

“Suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat, ugutan dan provokasi terhadap kakitangan syarikat penerbangan yang bertugas berhubung penundaan penerbangan tersebut.

“Pihak kawalan keselamatan terminal yang hadir bagi meredakan keadaan kemudian membawa suspek ke Pejabat Imigresen Malaysia Terminal 1.

“Namun lelaki itu bertindak lebih agresif, berkelakuan tidak senonoh serta ingkar arahan yang diberikan oleh pegawai imigresen bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek kemudiannya ditahan oleh anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA untuk tindakan lanjut.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan ditahan reman selama empat hari bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan, Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan dan petugas lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menimbulkan kegusaran awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast