KUALA LUMPUR – Seramai 113 individu termasuk daripada komuniti pelarian etnik Rohingya selesai menjalani proses dokumentasi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, proses dokumentasi itu dijalankan pada 28 Julai 2026 bermula jam 12.01 tengah malam hingga 4.30 petang di Dataran Wira, IPK Kuala Lumpur.
Menurutnya, proses berkenaan melibatkan pemindahan 109 pelarian Rohingya bersama seorang warga Indonesia dan masing-masing seorang pelarian Iraq dan Somalia.
“Pergerakan keluar mereka melibatkan tiga destinasi negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Majoriti pelarian terbabit menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke destinasi masing-masing.
“Pemilihan lokasi adalah berdasarkan kewujudan kenalan dan saudara mara mereka di kawasan berkenaan.
Daripada jumlah itu, seramai 66 pelarian ditempatkan di Kuala Lumpur, 29 di Selangor dan 18 lagi di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tujuh wakil Malaysian Relief Agency (MRA) hadir bagi menyampaikan sumbangan makanan serta menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas pelarian terbabit. – MalaysiaGazette
















