Calon PH N.01 Chennah, Anthony Loke bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Simpang Durian, Jelebu. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2026.

CHENNAH – Setiausaha Agung DAP yang juga calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chennah, Anthony Loke merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu menyelesaikan segera isu projek penempatan generasi kedua Kampung Simpang Durian yang tertangguh sejak 16 tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun lebih 70 unit rumah di bawah projek berkenaan kini hampir siap dibina, penduduk masih belum dapat mendudukinya berikutan kerja-kerja infrastruktur termasuk jalan, sistem perparitan dan bekalan air belum disiapkan sepenuhnya.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kos sekitar RM16 hingga RM17 juta itu sebelum ini pernah terbengkalai lebih sedekad sebelum pembinaannya diteruskan semula.

“Rumah-rumah ini sebenarnya sudah hampir siap namun tanpa jalan, parit dan bekalan air yang lengkap, penduduk masih tidak dapat berpindah.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri supaya menggunakan budi bicara untuk menyelaraskan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri agar baki kerja infrastruktur dapat disiapkan segera.

”Harapnya penyerahan kunci dapat dibuat sebelum penghujung tahun ini,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian hari ini.

Anthony berkata, projek itu amat dinantikan penduduk kerana ia melibatkan penempatan generasi kedua yang telah menunggu hampir dua dekad untuk memiliki kediaman sendiri.

Katanya, kelewatan yang berlarutan menyebabkan ramai penerima terus menunggu walaupun rumah yang dibina kini hampir siap sepenuhnya.

Beliau yakin penyelarasan lebih pantas antara kementerian, agensi Persekutuan dan kerajaan negeri mampu menyelesaikan baki kerja infrastruktur membolehkan rumah berkenaan diserahkan kepada pemilik dalam tempoh yang disasarkan.

Selain isu perumahan, Anthony turut memohon kerajaan mempertimbangkan pembinaan sebuah Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) di Simpang Durian bagi memenuhi keperluan golongan belia di kawasan itu.

Beliau berkata, walaupun beberapa projek pembangunan seperti naik taraf dewan orang ramai serta pembinaan jalan dan parit telah dilaksanakan, Simpang Durian masih belum mempunyai kemudahan sukan dan rekreasi yang lengkap.

Katanya, kawasan itu mempunyai enam buah sekolah namun pelajar dan belia setempat masih kekurangan ruang untuk menjalankan aktiviti riadah serta pembangunan sukan.

“Simpang Durian terletak berhampiran sempadan Negeri Sembilan dan Pahang. Dari sini, jarak ke Pelangai dan Bentong juga lebih dekat berbanding Kuala Kelawang.

“Justeru, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembinaan sebuah KOMBES di Simpang Durian supaya golongan belia mempunyai kemudahan yang lebih baik dan tersusun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anthony turut menyampaikan hasrat wakil veteran Angkatan Tentera Malaysia yang memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bayaran tetap kepada veteran yang tidak menerima pencen sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.

Beliau berkata, pengorbanan golongan veteran mempertahankan keamanan negara wajar terus diberikan perhatian melalui pendekatan kebajikan yang lebih menyeluruh.

Katanya, penghargaan terhadap bekas anggota tentera tidak seharusnya hanya dilihat daripada sudut perundangan, sebaliknya sebagai satu tanggungjawab kerajaan dalam mengiktiraf jasa mereka kepada negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast