Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual mesra dengan calon PH N.01 Chennah, Anthony Loke (kanan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Simpang Durian, Jelebu. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2026.

CHENNAH – Setiausaha Agung DAP yang juga calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chennah, Anthony Loke menegaskan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini tidak akan terjejas sekiranya PH terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Beliau berkata, dakwaan kononnya orang Melayu akan kehilangan kuasa sekiranya PH menang hanya fitnah politik yang sengaja dimainkan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan hari ini tetap diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan seorang pemimpin Melayu dan beragama Islam manakala pentadbiran Negeri Sembilan juga kekal dipimpin Menteri Besar daripada kalangan orang Melayu.

“Di kampung-kampung sekarang macam-macam cerita dimainkan. Ada yang kata kalau Pakatan Harapan menang, orang Melayu akan hilang kuasa.

“Ada pula yang kata Anthony Loke akan jadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Malah ada juga yang mendakwa Pakatan Harapan mahu mengganggu sistem adat dan institusi diraja.

“Semua ini tidak benar. Kalau PH menang di Chennah dan Negeri Sembilan, Perdana Menteri tetap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Negeri Sembilan tetap orang Melayu,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian hari ini.

Anthony berkata, rakyat tidak seharusnya dipengaruhi dengan kempen yang memainkan sentimen kaum dan agama semata-mata kerana perkara itu tidak membantu menyelesaikan masalah sebenar dihadapi masyarakat.

Sebaliknya, beliau berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi medan untuk parti-parti politik membentangkan rekod pentadbiran, dasar serta perancangan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kalau hendak berkempen, berkempenlah secara objektif. Jangan menakut-nakutkan rakyat dengan cerita yang tidak benar.

“Rakyat hari ini mahu tahu siapa yang boleh selesaikan masalah jalan, rumah, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak dan kos sara hidup. Itu yang lebih penting daripada menyebarkan fitnah,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, sepanjang PH mentadbir kerajaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta institusi Raja-Raja Melayu kekal dipelihara mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tiada asas untuk mana-mana pihak mendakwa kerajaan hari ini menghakis hak orang Melayu atau cuba mengubah sistem yang menjadi asas pentadbiran negara.

Anthony berkata, penyebaran dakwaan sedemikian hanya akan mewujudkan keresahan serta memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum yang telah sekian lama hidup dalam keadaan aman.

Beliau sebaliknya mengajak rakyat menilai prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian dan dasar yang telah dilaksanakan, bukannya mempercayai khabar angin atau tohmahan yang tidak berasas.

Dalam pada itu, Anthony turut memberi jaminan komuniti Orang Asli tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya peruntukan kepada kampung-kampung mereka akan dihentikan sekiranya PH terus diberi mandat.

Katanya, kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar kekal komited meneruskan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli termasuk melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Jangan percaya dakwaan bahawa peruntukan kepada Orang Asli akan dihentikan. Kerajaan akan terus membantu masyarakat Orang Asli sebagaimana yang dilaksanakan sekarang,” katanya.

Anthony berkata, rakyat wajar membuat pilihan berdasarkan fakta serta rekod perkhidmatan, bukannya dipengaruhi kempen yang bersandarkan ketakutan dan fitnah politik menjelang hari pengundian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast