Ungku Suzana Ungku (lima kanan) menyampaikan Anugerah Seni Daerah Tangkak kategori Orang Asli kepada Chia Yong Piau pada perasmian penutup Perkampungan Seni Budaya Tangkak 2026 di Dataran Ledang, Tangkak.

TANGKAK – Empat penggiat seni pelbagai kaum menerima pengiktirafan dalam Anugerah Seni Daerah Tangkak sempena program Perkampungan Seni Budaya Tangkak 2026

Penggiat seni kategori kaum Melayu diberikan kepada Sabar Marie, 70, yang bergiat dalam persilatan dan kompang yang kini memimpin Kumpulan Kompang Bestari Kampung Sagil Parit 3.

Anugerah bagi kaum Cina pula diterima oleh Foo Jong Hui, 80, yang berpengalaman selama 60 tahun dalam lukisan warna air dan masih aktif sehingga kini.

Subhashini Jadagopan, 43, mempunyai pengalaman dalam pelbagai tarian India selama 26 tahun dipilih untuk anugerah bagi kaum India.

Bagi penggiat Tarian Sewang dari kaum Orang Asli pula dianugerahkan kepada Chia Yong Piau dari Kampung Orang Asli Tanah Gembor, Tangkak.

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tangkak, Ungku Suzana Ungku Mohammad pada majlis perasmian penutup program itu di Dataran Ledang, Tangkak.

Perkampungan Seni Budaya Tangkak 2026 berlangsung selama lima hari anjuran bersama-sama Pejabat Daerah Tangkak, Majlis Daerah Tangkak dan Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Ungku Suzana berkata, setiap warisan mempunyai nilai serta keistimewaannya tersendiri dan apabila diraikan bersama-sama kepelbagaian itu menjadi jambatan yang memperkukuhkan perpaduan dan rasa saling menghormati dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pengiktirafan kepada para penggiat seni amat bermakna atas sumbangan mereka yang selama ini tekun memelihara mengembang dan memperkenalkan warisan budaya masing-masing kepada masyarakat.

”Penerimaan anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya, mendidik generasi muda dan memperluaskan apresiasi masyarakat terhadap seni budaya tempatan.

”Dalam konteks pelancongan, seni dan budaya merupakan aset yang berupaya membentuk identiti daerah Tangkak mempunyai kekuatan tersendiri melalui warisan sejarah, kepelbagaian budaya, produk kraf, makanan tradisi dan bakat seni masyarakat tempatan,” katanya.

Ungku Suzana berharap program Perkampungan Seni Budaya Tangkak dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih luas terutama daripada golongan belia, pelajar, persatuan kebudayaan dan komuniti setempat serta pengusaha industri kreatif.

Pengerusi Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak itu berkata, warisan tidak akan kekal hanya dengan dipamerkan sebaliknya perlu diamalkan, dipelajari dan dipindahkan kepada generasi seterusnya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor, Abd Rashid Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Shamsul Arif Sulaiman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast