Calon PH N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan DUN Sikamat di Pusat Perniagaan Betaria, Seremban. Foto SADIQ SANI, 29 JULAI 2026.

SEREMBAN – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin dicemari dengan permainan sentimen kaum dan agama yang dibawa pemimpin Perikatan Nasional (PN) serta Barisan Nasional (BN) dari luar.

Beliau berkata, naratif sedemikian hanya akan menghakis keharmonian yang telah lama menjadi identiti masyarakat Negeri Sembilan.

Menurutnya, pemimpin luar hanya berada di negeri itu sepanjang tempoh berkempen, namun rakyat Negeri Sembilan perlu terus hidup bersama dalam suasana aman selepas pilihan raya berakhir.

“Kamu berkempen dua minggu tetapi kami di Negeri Sembilan akan hidup bersama selama-lamanya.

“Jangan rosakkan keharmonian yang telah sekian lama kita bina hanya kerana mahu memenangi pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat malam ini.

Beliau turut menggesa semua pihak menghentikan politik menakut-nakutkan rakyat menggunakan isu perkauman dan agama.

Sebaliknya, katanya, parti yang bertanding perlu menawarkan rekod pencapaian serta manifesto yang mampu meyakinkan pengundi.

“Rakyat seharusnya membuat keputusan berdasarkan prestasi kerajaan dan bukannya dipengaruhi sentimen kebencian,” katanya.

Nor Azman juga mempertahankan kerjasama PH dengan DAP dan menegaskan, parti itu tidak pernah menghalang usaha kerajaan negeri memperkasakan syiar Islam sepanjang pentadbiran sejak 2018.

“Setiap peruntukan dan projek berkaitan pembangunan Islam mendapat sokongan semua parti dalam kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan agama Islam setiap tahun selain melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan 10 masjid bernilai RM90 juta.

Katanya, kerajaan turut membina Kompleks Pengajian Tinggi Agama bernilai RM15 juta serta melaksanakan kerja menaik taraf Masjid Negeri bernilai RM20 juta.

“Apa juga usaha kerajaan negeri untuk memartabatkan syiar Islam tidak pernah dibantah oleh rakan-rakan daripada DAP. Mereka memahami kedudukan Islam dan orang Melayu di Negeri Sembilan,” katanya.

Sebaliknya Nor Azman mengingatkan pengundi di Negeri Sembilan agar tidak terpedaya dengan dakyah PN-BN di mana mereka sendiri bersekongkol dengan kumpulan yang radikal dan pernah mencetuskan ketegangan kaum.

“Kalau pilih PH akan dapat DAP. Saya nak beritahu, kalau pilih Perikatan Nasional akan dapat Hindraf dan Gerakan dalam Perikatan Nasional,” katanya.

Katanya lagi, adalah tidak wajar sesebuah parti dijadikan modal untuk menakutkan pengundi sedangkan semua gabungan politik mempunyai parti komponen masing-masing.

“Kempen pilihan raya sewajarnya tertumpu kepada dasar, pencapaian serta tawaran kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast