Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni pengundi ketika berkempen di Taman Megaway, Sikamat, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Kehadiran pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada program grand finale di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di sini diyakini mampu meningkatkan momentum kempen parti menjelang hari pengundian.

Calon PH N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad berkata, kehadiran Pengerusi PH,  Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi suntikan semangat kepada jentera serta menarik lebih ramai pengundi kepada PH.

“Kehadiran beliau sangat kami alu-alukan kerana mampu menggerakkan lagi semangat jentera dan menarik lebih ramai pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut Nor Azman, bantuan jentera daripada pelbagai kawasan bukan sahaja memperkukuhkan gerak kerja di peringkat akar umbi.

“Malah ia meningkatkan keyakinan petugas tempatan untuk terus bekerja sehingga saat akhir bagi memastikan mesej kerajaan dapat disampaikan kepada seramai mungkin pengundi.

“Bantuan daripada jentera luar melonjakkan lagi semangat jentera tempatan untuk terus bergerak.

“Kehadiran pemimpin pada malam grand finale ini sangat-sangat kami alu-alukan kerana ia memberi suntikan semangat kepada seluruh jentera dan penyokong,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan dijangka memberi impak kepada sekurang-kurangnya tiga kawasan DUN berhampiran iaitu Sikamat, Ampangan dan Paroi yang mempunyai hubungan rapat dari segi demografi serta pergerakan pengundi.

“Kehadiran pemimpin pusat bukan sekadar memenuhi jadual ceramah, sebaliknya membawa mesej terakhir kerajaan kepada rakyat sebelum tempoh berkempen tamat pada tengah malam Jumaat.

Katanya, dalam tempoh berbaki dua hari itu, setiap gerak kerja perlu disusun dengan lebih tersusun bagi memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada disantuni.

“Kita berharap kehadiran pemimpin-pemimpin pusat ini akan menarik lebih ramai pengundi untuk hadir mendengar penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan serta pencapaian yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran.

“Ia juga menjadi peluang terakhir untuk kita menjawab pelbagai isu yang dimainkan sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Beliau berkata, kempen pada saat akhir tidak lagi tertumpu kepada ceramah semata-mata, sebaliknya lebih memberi penekanan kepada gerak kerja lapangan termasuk ziarah rumah ke rumah, pertemuan bersama komuniti dan menyantuni pengundi yang masih belum membuat keputusan.

“Pendekatan itu penting kerana masih terdapat sebahagian pengundi yang hanya membuat keputusan pada saat-saat akhir berdasarkan penjelasan yang diterima daripada calon dan parti bertanding,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Azman berkata, jentera PH memilih untuk memberi tumpuan kepada penerangan mengenai rekod pencapaian kerajaan berbanding terlalu melayan serangan politik yang disifatkannya sebagai cubaan mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.

“Kita mahu rakyat membuat penilaian berdasarkan prestasi dan apa yang telah dilaksanakan, bukannya dipengaruhi persepsi atau dakwaan yang tidak disokong fakta.

“Tempoh kempen yang berbaki ini kita gunakan sepenuhnya untuk bertemu rakyat dan menerangkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan serta perancangan untuk lima tahun akan datang,” katanya.

Nor Azman turut berharap momentum yang dibina sepanjang tempoh berkempen dapat diterjemahkan kepada sokongan rakyat pada hari pengundian nanti.

“Insya-Allah kita terus bekerja sehingga saat akhir. Apa yang penting sekarang ialah memastikan setiap pengundi keluar mengundi dan membuat pilihan berdasarkan rekod, prestasi serta masa depan Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast