SENALING – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin mengakui cabaran terbesar menjelang hari pengundian Sabtu ini bukan lagi memperkenalkan dirinya kepada pengundi, sebaliknya memastikan seramai mungkin mereka keluar mengundi.
Beliau berkata, berbaki kurang dua hari sebelum proses pengundian, fokus pasukannya kini tertumpu kepada usaha bertemu seramai mungkin pengundi bagi menjelaskan tawaran PH dan pada masa sama mengajak mereka pulang serta menunaikan tanggungjawab pada 1 Ogos.
“Keutamaan kami sekarang ialah bertemu seramai mungkin pengundi, bersalam dan merayu supaya mereka bukan sahaja membuat pilihan, tetapi benar-benar keluar mengundi.
“Kita mahu keputusan pada malam pengundian nanti benar-benar mencerminkan kehendak seluruh pengundi di DUN Senaling, bukan hanya di beberapa kampung atau lokaliti tertentu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Menurut Mohd Hanis, antara kebimbangan utama beliau ialah kadar keluar mengundi yang rendah, khususnya dalam kalangan pengundi luar kawasan yang bekerja di bandar dan mungkin tidak pulang pada hari pengundian.
Katanya, hampir separuh pengundi di kawasan itu kini menetap di luar kerana peluang pekerjaan yang terhad di Senaling, menjadikan usaha membawa mereka pulang sebagai cabaran terbesar sepanjang kempen.
“Ramai anak-anak muda dan mereka yang bekerja di luar kawasan. Malah dalam keluarga saya sendiri pun ada yang bekerja di luar. Sebab itu kita perlu pastikan mereka sedar 1 Ogos ialah hari untuk menentukan masa depan kawasan ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pasukan kempen turut mempergiat penggunaan media sosial bagi menyampaikan mesej kepada pengundi luar selain menggalakkan ahli keluarga memujuk anak-anak atau saudara-mara pulang mengundi.
Dalam masa sama, Mohd Hanis berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat terus memperhebat kempen kesedaran mengenai hari pengundian, khususnya di Negeri Sembilan, bagi memastikan tiada pengundi yang terlepas maklumat penting.
Beliau turut menyeru media memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keluar mengundi.
“Saya harap media juga boleh membantu menyampaikan mesej supaya rakyat keluar mengundi. Ini bukan soal parti semata-mata, tetapi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan proses demokrasi berjalan dengan baik,” katanya lagi.
Mohd Hanis turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan kesesakan lalu lintas pada hari pengundian yang menurutnya boleh menjejaskan hasrat pengundi luar untuk pulang mengundi.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu, kesesakan di laluan Seremban menuju Kuala Pilah termasuk kawasan Bukit Putus pernah menyebabkan perjalanan mengambil masa beberapa jam sehingga ada pengundi memilih untuk berpatah balik.
“Saya berharap pihak polis dan agensi berkaitan dapat menyediakan pelan kawalan trafik yang baik supaya perjalanan pengundi lebih lancar.
“Bukan kita minta tiada kesesakan langsung, tetapi sekurang-kurangnya keadaan dapat dikawal agar orang ramai tidak hilang semangat untuk meneruskan perjalanan ke pusat mengundi.
“Setiap undi amat bermakna, lebih-lebih lagi bagi kawasan seperti Senaling yang mempunyai ramai pengundi luar,” katanya. – MalaysiaGazette
















