KUALA LUMPUR – Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) yang diperkenalkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2001 terus mencatat peningkatan sejajar dengan kenaikan kos menunaikan ibadah haji sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan institusi itu.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mendedahkan, sebelum HAFIS diperkenalkan, jemaah haji Muassasah perlu membayar kos haji sebenar sepenuhnya.
Kos haji bagi jemaah Muassasah didapati meningkat daripada RM15,553 pada 2013 kepada RM25,540 pada 2022.
Bagi tempoh 2014 hingga 2019, TH menetapkan bayaran haji sebanyak RM9,980 bagi setiap jemaah Muassasah manakala baki kos ditanggung menerusi HAFIS.
Jumlah bantuan HAFIS yang ditanggung TH meningkat daripada RM106 juta pada 2014 kepada RM300 juta pada 2019.
Pada 2022, TH memperkenalkan struktur baharu kadar bayaran haji melibatkan dua kategori iaitu RM10,980 bagi bakal jemaah daripada kumpulan B40 dan RM12,980 bagi kumpulan bukan B40.
Walaupun kadar bayaran dinaikkan, laporan itu menyatakan jumlah HAFIS yang perlu ditanggung TH masih tinggi dan dianggarkan mencecah hampir RM400 juta setahun bermula 2022.
Malah sekiranya kadar bayaran haji dikekalkan, bantuan HAFIS dijangka meningkat sehingga 65 peratus daripada kos sebenar haji menjelang 2030.
Kos HAFIS yang perlu ditanggung TH turut diunjurkan meningkat kepada RM742.47 juta setahun menjelang 2030.
Laporan itu turut menjelaskan HAFIS dibiayai menggunakan keuntungan pelaburan TH, justeru peningkatan bantuan berkenaan memberi kesan langsung kepada kadar agihan keuntungan (hibah) kepada pendeposit.
Menurut laporan tersebut, agihan hibah yang lebih rendah berpotensi menyebabkan pendeposit dengan simpanan besar memilih saluran pelaburan lain.
Sehubungan itu, TH dianggarkan memerlukan sekurang-kurangnya RM60 bilion dana pendeposit bagi mengekalkan tahap bantuan HAFIS sedia ada.
Apabila kos subsidi meningkat, jumlah dana yang lebih besar diperlukann dan kebergantungan kepada pendeposit besar akan bertambah. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bayaran hibah yang tinggi penyumbang krisis kewangan TH – RCI
















