KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan bertemakan “#HebatkanSemula” sebagai langkah tepat dalam mempersiapkan golongan belia menghadapi masa depan menerusi penekanan terhadap kecerdasan buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Pengerusi Kebangsaan Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, manifesto itu menggariskan dasar yang praktikal dan berpandangan jauh bagi memenuhi keperluan ekonomi yang berkembang pesat, selain menyediakan laluan jelas kepada anak muda untuk menikmati prospek kerjaya yang lebih baik dan meningkatkan daya saing jangka panjang.
Menurut beliau, golongan belia merupakan aset terbesar negara dan bakal memainkan peranan penting dalam memacu transformasi ekonomi Negeri Sembilan pada masa hadapan.
“Komitmen BN untuk memperluaskan latihan serta sokongan dalam bidang AI, memperkukuh TVET dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan membuktikan kesungguhan dalam melabur untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika AI terus mengubah landskap industri global, Negeri Sembilan perlu memastikan golongan mudanya dilengkapi dengan pengetahuan AI dan kemahiran digital yang diperlukan bagi mengekalkan daya saing serta menarik pelaburan bernilai tinggi.
Katanya, janji BN untuk menyediakan latihan AI dan bantuan berkaitan bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan, malah melahirkan generasi baharu inovator dan profesional teknologi yang mampu berkembang dalam ekonomi digital.
Dalam pada itu, Ling berkata, usaha memperkukuh dan memperluaskan TVET juga penting dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri.
“Ini sekaligus membolehkan golongan muda memperoleh pekerjaan bergaji lebih tinggi, membina kerjaya mampan dan menikmati mobiliti ekonomi yang lebih baik,” ujarnya.
Tambah beliau, cadangan untuk menghidupkan semula serta menyelaras pembangunan infrastruktur di bawah Malaysia Vision Valley (MVV) akan meningkatkan lagi daya tarikan Negeri Sembilan kepada sektor pembuatan berteknologi tinggi, industri maju, logistik dan pelaburan digital.
Menurutnya lagi, sektor-sektor berkenaan memerlukan bekalan tenaga kerja mahir yang berterusan, sekaligus menjadikan pelaburan dalam pendidikan AI dan TVET sebagai keutamaan.
Beliau berkata, inisiatif yang diumumkan itu mampu mewujudkan kitaran positif apabila pertumbuhan industri menjana peluang pekerjaan berkualiti, manakala tenaga kerja mahir pula mengukuhkan daya saing negeri.
“Dengan pengalaman BN dalam pentadbiran serta agenda pembangunan yang jelas, Negeri Sembilan berpotensi melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan era AI, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi tanpa memaksa anak muda meninggalkan negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















