Oleh: Ridzwan Ahmad
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 semakin menghampiri hari penentuan. Seperti lazimnya dalam setiap pilihan raya, pelbagai ramalan mula dikemukakan oleh ahli politik, penganalisis bebas, pemerhati dan masyarakat umum. Ada yang melihat berdasarkan peluang kesinambungan pemerintahan sedia ada, manakala ada pula yang menjangkakan perubahan boleh berlaku berdasarkan perkembangan politik semasa dan setempat.
Namun dalam disiplin sains politik, pilihan raya bukanlah satu proses yang boleh dinilai hanya berdasarkan sentimen atau kekuatan penyokong tradisi. Keputusan pilihan raya biasanya terbentuk melalui gabungan pelbagai faktor yang saling berkaitan termasuk strategi parti, kekuatan calon, isu yang menjadi perhatian rakyat, prestasi kerajaan, bentuk persaingan serta perubahan kecenderungan pengundi pada saat akhir.
Negeri Sembilan mempunyai ciri politik yang menarik kerana komposisi pengundinya terdiri daripada kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar. Dalam masa yang sama, beberapa kawasan mempunyai sejarah persaingan yang sengit dengan perbezaan kemenangan yang kecil dalam PRN 15. Keadaan ini menjadikan perubahan kecil dalam sokongan pengundi berpotensi menghasilkan kesan besar terhadap keputusan keseluruhan.
Dalam PRN kali ini, perhatian bukan sahaja tertumpu kepada siapa yang bertanding, tetapi juga bagaimana strategi politik dilaksanakan. Setiap gabungan memasuki pilihan raya dengan kekuatan dan cabaran tersendiri. Di atas kertas, pihak yang sedang memerintah mungkin mempunyai kelebihan dari sudut pengalaman pentadbiran, pengenalan dasar dan rekod pemerintahan, namun kelebihan tersebut datang bersama tanggungjawab untuk menjawab penilaian rakyat terhadap prestasi mereka.
Pihak pencabar pula berusaha meyakinkan rakyat bahawa perubahan merupakan pilihan yang lebih baik melalui pendekatan dan tawaran politik mereka. Keadaan ini selari dengan pandangan Maurice Duverger yang menjelaskan struktur pertandingan pilihan raya boleh memberi kesan terhadap keputusan politik. Perubahan bentuk persaingan boleh mempengaruhi pola pengundian, khususnya apabila berlaku perubahan dalam strategi antara gabungan politik.
Namun begitu, strategi yang dirancang oleh kepimpinan parti hanya akan berkesan sekiranya diterima dan diterjemahkan oleh penyokong di peringkat akar umbi. Selain strategi parti, faktor yang agak penting ialah pertarungan membentuk persepsi rakyat. Dalam politik moden, kemenangan bukan sahaja bergantung kepada siapa yang mempunyai organisasi paling kuat, tetapi juga siapa yang berjaya menentukan isu utama yang difikirkan oleh masyarakat.
Oleh itu setiap parti dan gabungan parti yang bertanding akan berusaha membentuk neratif tertentu melalui isu yang diutarakan, bahkan kadang kala ia disalahertikan dan boleh mencetuskan perbalahan kaum jika tidak dibendung lebih awal. Teori Agenda Setting yang dikemukakan oleh Maxwell McCombs dan Donald Shaw menjelaskan pihak yang berjaya menentukan isu utama dalam perbincangan awam berpotensi mempengaruhi cara masyarakat menilai sesuatu pilihan raya. Manakala Framing Theory pula menunjukkan cara sesuatu isu dipersembahkan boleh mempengaruhi pemahaman dan reaksi masyarakat.
Dalam konteks PRN Negeri Sembilan, isu berkaitan ekonomi, kos sara hidup, pembangunan negeri, integriti, kestabilan politik dan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan berpotensi mempengaruhi persepsi pengundi. Lebih-lebih lagi, tempoh akhir kempen sering menjadi waktu penting apabila sebahagian pengundi masih menilai pilihan mereka. Walau bagaimanapun, faktor yang sering menjadi penentu sebenar dalam pilihan raya ialah kelompok pengundi atas pagar. Ia sering diabaikan oleh parti politik besar yang merasakan pengaruh tradisi sudah cukup untuk menentukan pemenang mutlak.
Maka tidak hairan tiba-tiba terjadi parti yang kerdil mampu mengalahkan parti besar dan berpengalaman luas walaupun dengan majoriti yang tipis. Begitu juga calon bebas beroleh kemenangan meskipun tiada jentera pilihan raya yang hebat namun ia amat jarang berlaku di Semenanjung Malaysia.
Dalam kebanyakan pilihan raya, penyokong tegar sesuatu parti biasanya mempunyai pendirian yang lebih stabil. Sebaliknya, keputusan sering ditentukan oleh kelompok yang masih terbuka untuk berubah sehingga saat akhir yang dikenali sebagai pengundi atas pagar. Bilangan mereka semakin ramai pada setiap pilihan raya dilaksanakan lebih-lebih lagi melibatkan pengundi muda.
Dalam kajian politik, mereka sering disebut sebagai swing voters. Anthony Downs melalui Rational Choice Theory menjelaskan sebahagian pengundi membuat keputusan berdasarkan pertimbangan terhadap manfaat yang mereka jangka daripada sesuatu kerajaan. Mereka menilai prestasi pentadbiran, keadaan ekonomi, kredibiliti calon dan kestabilan politik sebelum membuat pilihan.
Dalam kawasan yang mempunyai majoriti kemenangan kecil, perubahan sederhana dalam kalangan pengundi atas pagar sudah cukup untuk membawa kesan yang besar. Oleh itu, kemenangan bukan hanya bergantung kepada jumlah penyokong tegar, tetapi juga kemampuan sesebuah gabungan meyakinkan kelompok yang masih membuat pertimbangan di saat akhir pengundian.
Sejarah pilihan raya Malaysia menunjukkan bahawa perubahan politik tidak semestinya berlaku melalui perubahan besar dalam keseluruhan pola sokongan rakyat. Dalam banyak situasi, perubahan kecil dalam kecenderungan sebahagian pengundi sudah memadai untuk mengubah keputusan sesuatu kawasan.
Perspektif ini juga mempunyai kaitan dengan pemikiran politik Islam. Ibn Khaldun melalui konsep ‘asabiyyah’ menekankan bahawa kekuatan sesebuah pemerintahan bergantung kepada kesatuan dan solidariti kelompok yang menyokongnya. Dalam konteks demokrasi moden, konsep tersebut boleh difahami sebagai kepentingan hubungan antara kepimpinan politik dengan penyokong akar umbi.
Imam al-Ghazali pula menekankan polisi bagi setiap pemerintah perlu berorientasikan maṣlaḥah, iaitu usaha mencapai manfaat masyarakat dan mengelakkan kemudaratan. Justeru dalam sistem demokrasi, rakyat akan menilai parti dan calon berdasarkan persepsi mereka terhadap kemampuan membawa kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan.
PRN Negeri Sembilan 2026 tidak boleh dilihat semata-mata sebagai pertandingan antara parti politik dan gabungan parti politik. Ia merupakan pertandingan antara strategi, persepsi, keyakinan rakyat dan keupayaan setiap gabungan memahami kehendak pengundi. Menjelang di akhir hari pengundian, pelbagai kemungkinan masih terbuka. Kelebihan awal tidak semestinya menjamin kemenangan dan cabaran awal tidak semestinya membawa kekalahan.
Dalam pilihan raya yang kompetitif, perubahan kecil dalam tingkah laku pengundi boleh menghasilkan perubahan besar terhadap keputusan akhir. Oleh itu jangan alpa pengaruh pengundi atas pagar kerana mereka adalah ‘penentu akhir’ bagi setiap pengundian pilihan raya di Malaysia.
Politik ialah ilmu tentang kemungkinan, bukannya kepastian. Analisis yang baik bukanlah analisis yang mendakwa mengetahui keputusan lebih awal, tetapi analisis yang mampu menjelaskan faktor yang boleh membawa kepada sesuatu keputusan. Akhirnya, keputusan PRN Negeri Sembilan 2026 akan menjadi gambaran bagaimana rakyat menilai prestasi, strategi dan tawaran politik yang dikemukakan oleh semua pihak. Apa jua keputusan yang bakal berlaku, ia tetap merupakan hasil pertimbangan rakyat yang diterjemahkan melalui pilihan mereka di peti undi.
















