Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook.

KUALA LUMPUR – Ancaman bom yang diterima melalui e-mel terhadap bangunan Centrepoint South Tower, Mid Valley City di sini malam tadi disahkan palsu selepas pemeriksaan menyeluruh oleh Unit Pemusnah Bom dan Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerima panggilan daripada Pengurus Pengawal Keselamatan bangunan Mid Valley pada pukul 8.17 malam berhubung satu e-mel yang mendakwa terdapat paip bom di bangunan berkenaan.

Menurut beliau, susulan itu, pihak pengurusan bangunan mengambil tindakan segera mengosongkan premis sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Pada pukul kira-kira 10.30 malam, Unit Pemusnah Bom dan Unit K9 PDRM telah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi ancaman.

“Hasil pemeriksaan keseluruhan mendapati tiada sebarang bahan letupan, objek mencurigakan atau peralatan berkaitan bom ditemui di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata, siasatan awal mendapati, ancaman berkenaan dipercayai merupakan ancaman palsu yang dihantar melalui e-mel dengan tujuan menimbulkan ketakutan serta mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan memberi kerjasama kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast