SEREMBAN – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid menggesa semua pihak menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas dan fitnah sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, persaingan politik perlu berlangsung secara matang, berhemah dan berlandaskan adab tanpa menggunakan isu sensitif sebagai bahan serangan politik.
“Apa yang saya mahu tegaskan ialah hentikanlah segala bentuk tohmahan dan fitnah. Kita mahu menang secara baik, secara berhemah dan beradab,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Ikrar Wanita Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut hadir, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom.
Dalam pada itu, Bibi juga menegaskan, setiap parti politik mempunyai ruang untuk bersuara namun kebebasan tersebut tidak seharusnya digunakan untuk menyebarkan perkara yang boleh mengelirukan rakyat.
“Dalam parti kita ada adab. Kita ada suara tetapi bukan suara untuk menyebarkan fitnah.
“Selepas pilihan raya, jika ada perkara yang mahu dibincangkan, bentangkanlah di Parlimen. Tidak ada masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















