Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersama calon DUN Juasseh hari ini.

JUASSEH –  Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh memerlukan seorang wakil rakyat yang benar-benar memahami keperluan masyarakat setempat serta mampu membawa penyelesaian terhadap isu asas yang masih membelenggu penduduk khususnya komuniti Orang Asli.

Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar berkata, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Aidil Abdullah merupakan anak tempatan yang telah lama berkhidmat di kawasan itu dan memahami cabaran yang dihadapi penduduk.

Katanya, pengalaman Aidil turun padang sejak sekian lama membolehkan beliau mengenal pasti pelbagai isu yang memerlukan perhatian termasuk kemudahan asas, peluang ekonomi dan kebajikan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama penduduk Kampung Orang Asli Guntur, petang ini, bagi memberi sokongan kepada kempen Mohd Aidil yang bertanding di kerusi DUN Juasseh.

“Pembangunan sesebuah kawasan tidak boleh hanya diukur melalui projek fizikal, sebaliknya perlu memastikan setiap komuniti menikmati kemudahan asas yang mencukupi.

“Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah bekalan air bersih, pencahayaan jalan dan akses kepada kemudahan yang mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Tambah Nurul Izzah, peluang pekerjaan dan usaha menambah pendapatan juga perlu diperkasakan supaya lebih ramai penduduk khususnya golongan muda dapat membina masa depan di kawasan sendiri.

Menurutnya, pembangunan ekonomi yang mampan akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat tanpa meminggirkan komuniti luar bandar.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, pendidikan anak-anak perlu terus menjadi keutamaan kerana ia merupakan asas penting untuk mengubah taraf hidup generasi akan datang.

Beliau berkata, setiap anak perlu diberi peluang meneruskan pendidikan daripada peringkat sekolah rendah sehingga ke institusi pengajian tinggi dengan sokongan kemudahan yang lebih baik.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Juasseh supaya menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Sabtu ini dan membuat pilihan yang mampu menjamin kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, setiap undi yang diberikan bukan sekadar memilih seorang wakil rakyat, tetapi turut menentukan masa depan pembangunan.

Ia termasuk usaha memperbaiki kemudahan asas, memperluaskan peluang ekonomi dan membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk berjaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast