Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendengar permasalahan penduduk sekitar Sikamat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Jujur, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

SEREMBAN – Kebanjiran etnik Rohingya di Taman Jujur, Sikamat di sini semakin membimbangkan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan.

Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh beberapa penduduk ketika beliau mengadakan tinjauan di kawasan berkenaan dalam siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Tun Faisal mendakwa, berdasarkan maklumat diterima daripada penduduk, dianggarkan lebih 80 peratus penghuni di taman perumahan tersebut terdiri daripada etnik Rohingya, sekali gus mengubah komposisi penduduk di kawasan berkenaan.

“Ada penduduk yang meluahkan rasa tidak selesa dan ada juga yang sudah mengambil keputusan berpindah. Ini kerana bilangan etnik Rohingya di kawasan tersebut semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Malah ada penduduk yang memberitahu saya kira-kira 80 peratus penghuni di taman perumahan itu adalah etnik Rohingya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Taman Jujur, Sikamat di sini semalam.

Warga asing yang menetap di sekitar Taman Jujur, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Tun Faisal berkata, antara kebimbangan yang dibangkitkan penduduk ialah aspek keselamatan, kebersihan serta perubahan suasana kejiranan yang menyebabkan mereka berasa kurang selesa untuk terus menetap di kawasan tersebut.

Menurutnya, walaupun setakat ini tiada kejadian jenayah atau insiden tidak diingini yang dilaporkan secara khusus, persepsi dan kebimbangan penduduk tidak boleh dipandang ringan.

“Ada yang rasa tidak selamat, ada yang rasa kawasan itu tidak bersih dan ada juga yang rasa tidak selesa. Itu antara aduan yang disampaikan kepada saya.

“Belum ada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti yang dinyatakan penduduk, tetapi kebimbangan itu tetap wujud dan perlu diberi perhatian.

“Keadaan itu menyebabkan penduduk tempatan semakin berasa terpinggir apabila komposisi penduduk berubah secara ketara,” katanya.

Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melawat di sekitar Sikamat meninjau permasalahan di kawasan sekitar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Jujur, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Sehubungan itu, Tun Faisal menggesa kerajaan negeri bersama agensi penguat kuasa meneliti situasi berkenaan secara menyeluruh serta merangka langkah yang bersesuaian bagi menguruskan penempatan tersebut mengikut lunas undang-undang.

Jelasnya, pendekatan yang diambil bukanlah untuk mengusir mana-mana pihak secara sewenang-wenangnya, sebaliknya memastikan keseimbangan antara hak penduduk tempatan, keselamatan awam dan pematuhan terhadap undang-undang negara.

“Kita perlu mencari satu kaedah untuk menyusun semula Taman Jujur supaya kawasan itu kembali lebih selesa kepada warga tempatan.

“Pada masa sama perlu ada mekanisme kawalan supaya bilangannya tidak terus meningkat tanpa pemantauan sehingga akhirnya penduduk asal pula memilih untuk berpindah kerana tidak lagi berasa selesa,” katanya.

Warga asing yang menetap di sekitar Taman Jujur, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Beliau berkata, semua pihak yang berada di negara ini juga perlu menghormati undang-undang serta menyesuaikan diri dengan norma kehidupan masyarakat tempatan.

“Sesiapa yang berada di sini perlu mematuhi undang-undang negara, menghormati peraturan yang ada serta menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan. Perkara itu penting bagi memastikan keharmonian komuniti dapat dikekalkan,” katanya.

Penduduk, Buvanes Godisan, 39 sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Jujur, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Jujur yang ditemui MalaysiaGazette, Buvanes Godisan, 39, mendakwa jumlah etnik Rohingya di kawasan berkenaan meningkat dengan ketara dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu sehingga mengubah komposisi penduduk di taman perumahan itu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk tempatan memilih untuk berpindah atau menyewakan rumah masing-masing kerana tidak lagi berasa selesa tinggal di kawasan tersebut.

“Dulu tidaklah seramai sekarang. Selepas ramai penduduk tempatan berpindah, mereka semakin ramai tinggal di sini. Saya tidak pasti jumlah sebenar, tetapi memang pertambahannya sangat ketara,” katanya ketika ditemui.

Warga asing yang menetap di sekitar Taman Jujur, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Buvanes mendakwa, antara masalah yang sering berlaku ialah tindakan sekumpulan individu berkumpul di bahu jalan sehingga menghalang laluan serta menimbulkan rasa kurang selesa kepada penduduk.

“Mereka selalu berkumpul di tepi jalan. Kadang-kala menyukarkan orang keluar masuk dan parkir kenderaan. Ada juga penduduk mendakwa ditegur atau diminta tidak meletakkan kereta di hadapan rumah tertentu sehingga mencetuskan pertelingkahan,” katanya.

Menurut Buvanes, setiap kali berlaku perselisihan faham, individu terbabit didakwa akan memanggil rakan-rakan mereka sehingga menyebabkan penduduk tempatan berasa gentar.

“Kalau berlaku pergaduhan, mereka datang beramai-ramai. Itu yang membuatkan penduduk rasa takut untuk menegur,” katanya.

Warga asing yang menetap di sekitar Taman Jujur, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Selain itu, Buvanes hanya mengingati satu kejadian yang pernah berlaku di kawasan flat berhampiran beberapa tahun lalu apabila seorang individu ditahan polis selepas didakwa merakam gambar seorang wanita sedang mandi menggunakan telefon bimbit.

“Itu kes lama di kawasan flat berhampiran. Polis datang dan individu terbabit telah ditangkap,” katanya.

Selain isu keselamatan, Buvanes turut mendakwa terdapat aduan mengenai bunyi bising terutama pada waktu malam yang mengganggu penduduk berhampiran.

Katanya, seorang rakannya yang tinggal di bahagian lain taman tersebut memaklumkan keadaan bising pada waktu malam menyebabkan mereka sukar untuk berehat.

“Ada yang pernah cuba menegur tetapi mendakwa menerima ugutan bahawa laporan polis akan dibuat terhadap mereka. Disebabkan itu ramai memilih untuk berdiam diri,” katanya.

Suri rumah itu juga meluahkan kebimbangan sekiranya pertambahan penghuni warga asing tanpa kawalan berterusan akan mengubah identiti kawasan perumahan tersebut.

“Kami takut lama-kelamaan penduduk asal pula yang rasa seperti tidak ada hak di kawasan sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai aspek kebersihan, dia mendakwa terdapat segelintir penghuni yang menjalankan aktiviti penyembelihan ayam di hadapan rumah sehingga mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

“Keadaan itu pernah menimbulkan rungutan daripada jiran-jiran berhampiran.

“Setakat ini saya tidak pernah melihat aktiviti penyembelihan haiwan ternakan besar seperti lembu atau kambing dilakukan di kawasan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast