Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan sepenuhnya penjualan vape dengan menyifatkan perbelanjaan kira-kira RM369 juta setahun bagi merawat penyakit berkaitan penggunaannya sebagai satu pembaziran yang boleh dielakkan.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V. Subbarow berkata, jumlah itu jauh melebihi hasil kutipan duti eksais vape, sekali gus membuktikan negara menanggung kos kesihatan yang lebih besar berbanding pulangan diterima.

Menurutnya, penyakit berkaitan vape boleh dicegah sekiranya kerajaan mengambil langkah tegas mengharamkan sepenuhnya produk berkenaan tanpa terus menangguhkan pelaksanaannya.

“Adalah tidak logik untuk membelanjakan ratusan juta ringgit bagi merawat penyakit yang boleh dicegah dengan mengharamkan vape.

“Kerajaan boleh menjimatkan RM369 juta setahun dan menyalurkan peruntukan itu kepada program pendidikan kesihatan yang memberi manfaat lebih besar kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya menunggu lebih lama untuk bertindak kerana sudah terdapat banyak kajian dan bukti saintifik mengenai kesan buruk penggunaan vape.

Katanya, beberapa negara kini sedang mengambil langkah mengharamkan sepenuhnya vape demi melindungi generasi muda, kecuali Filipina dan Malaysia.

“Malah, berdasarkan kajian pengguna vape dan rokok elektronik membelanjakan sekurang-kurangnya RM150 sebulan untuk membeli cecair dan produk vape.

“Namun, wang yang dibelanjakan kerajaan untuk merawat penyakit berkaitan vape bukan daripada mereka sebaliknya daripada pembayar cukai termasuk mereka yang tidak merokok dan tidak menggunakan vape,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan mengharamkan sepenuhnya vape bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan serta melindungi kesihatan generasi muda.

Media semalam melaporkan bebas kos kesihatan dan ekonomi akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dianggarkan mencecah kira-kira RM369 juta setahun, jauh melebihi jumlah hasil duti eksais daripada produk vape yang dikutip kerajaan, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan kutipan hasil duti eksais daripada produk vape bukan justifikasi untuk membenarkan penjualannya di pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast