SIMPANG AMPAT – Seorang lelaki cedera pada leher dan lengan akibat tersepit selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Jalan Bukit Tambun, Taman Tambun Indah di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, jentera bomba yang tiba pada jam 8.04 malam mendapati sebuah Honda Civic terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan pemandunya berusia 26 tahun tersepit.
“Komander operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan daripada kereta itu sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
“Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, anggota bomba turut menjalankan kerja pembersihan jalan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.57 malam. – MalaysiaGazette
















