TANGKAK – Seorang pembantu kedai makan RM170,000 selepas terjerat dalam sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd T alib berkata, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 51 tahun mendakwa ditipu sindiket berkenaan sebelum membuat laporan polis semalam.
“Suspek yang menyamar sebagai polis menghubungi mangsa dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram pukul 10.24 pagi pada 8 Julai lalu.
“Mangsa dimnta membuat bayaran bagi tujuan siasatan polis. Mangsa kemudian membuat 11 transaksi berjumlah RM170,000 ke dalam lapan akaun bank berbeza yang disyaki akaun keldai mengikut arahan suspek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat bawah 420 Seksyen Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan daripada individu menyamar sebagai penguat kuasa.
Masyarakat katanya, diseru membuat semakan terlebih dahulu dan mengikuti perkembangan maklumat scam terkini menerusi akaun media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam Facebook, Instagram dan TikTok.
Tambahnya, mangsa penipuan disaran segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 sebagai tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang.- MalaysiaGazette
















