UIAM Pagoh menganjurkan Program Kasih Insani:Humanitarian Engagement with Kampung Air Papan di Dataran Pantai Air Papan, Mersing

MERSING – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh menganjurkan Program Kasih Insani:Humanitarian Engagement with Kampung Air Papan di Dataran Pantai Air Papan di sini baru-baru ini.

Program itu dianjurkan Kesatuan Pelajar Fakulti Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (Castellan) UIAM bagi memperkukuh hubungan mahasiswa dan masyarakat luar bandar melalui pelbagai inisiatif kebajikan, kesihatan serta kesukarelawanan.

UIAM Pagoh dalam satu kenyataan memberitahu, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Relief Agencies (MRA) Johor dan Southern Volunteers Daerah Mersing.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan turut disokong pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Mersing, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Mersing dan Projek Ternakan Kelulut Komuniti Kampung Air Merah.

“Penganjuran Kasih Insani bertujuan memberikan sokongan moral dan bantuan kepada komuniti luar bandar, khususnya dalam aspek kesihatan fizikal.

“Selain juga bertujuan memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat serta memperluaskan kerjasama strategik bersama badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan organisasi komuniti,” jelas kenyataan itu.

UIAM memaklumkan, antara pengisian utama adalah pemeriksaan kesihatan percuma dikendalikan MRA Johor dengan kerjasama sukarelawan mahasiswa UIAM Pagoh serta Southern Volunteers Daerah Muar dan Mersing.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih daripada 100 penduduk Kampung Air Papan dan kawasan sekitarnya mendaftar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sepanjang program berlangsung,” jelas kenyataan itu.

Program itu bertujuan memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat serta memperluaskan kerjasama strategik bersama-sama NGO, agensi kerajaan dan organisasi komuniti

Selain itu UIAM memberitahu, sebanyak 100 Bakul Prihatin yang ditaja sepenuhnya oleh MRA Johor diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar Kampung Air Papan.

Pengagihan tersebut turut melibatkan mahasiswa UIAM yang membantu menghantar bakul makanan secara terus ke kediaman warga emas dan penduduk uzur.

“Ini sekali gus mencerminkan nilai keprihatinan serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa,” tambah kenyataan itu lagi.

Penganjuran ini turut dimeriahkan dengan empat pameran pendidikan dan kesedaran masyarakat daripada UIAM, APM Daerah Mersing, AADK Daerah Mersing serta Projek Ternakan Kelulut Komuniti Kampung Air Merah.

“Selain meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan komuniti, pencegahan penyalahgunaan dadah dan manfaat madu kelulut, pelbagai aktiviti interaktif seperti sukaneka kanak-kanak, pertandingan tarik tali dan pertandingan memasak turut dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat,” menurutnya lagi.

Tambah kenyataan itu, seramai 36 mahasiswa UIAM Pagoh terlibat secara langsung sebagai sukarelawan sepanjang program berlangsung.

“Penglibatan mereka bukan sahaja menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan aktiviti, malah memberikan pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti yang dapat membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan tanggungjawab sosial.”

Pemeriksaan darah dan kesihatan turut diadakan dalam program berkenaan

Inisiatif berkenaan turut mencatat satu lagi kejayaan apabila berjaya membina kerjasama strategik bersama-sama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan organisasi komuniti.

Jaringan kerjasama itu jelas UIAM, bukan sahaja menyokong pelaksanaan program secara menyeluruh, malah membuka peluang kepada mahasiswa untuk membina hubungan profesional dan memperluaskan penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan serta pembangunan komuniti pada masa hadapan.

Penganjuran Program Kasih Insani membuktikan bahawa kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, NGO, agensi kerajaan dan komuniti mampu menghasilkan impak positif yang berterusan kepada masyarakat luar bandar.

Pelbagai aktiviti interaktif seperti sukaneka kanak-kanak, pertandingan tarik tali dan pertandingan memasak turut dianjurkan

“Melalui pendekatan berasaskan kesukarelawanan dan kolaborasi strategik, program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kemasyarakatan yang menyokong kesejahteraan komuniti dan pembangunan modal insan,” jelas kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast