DALAM setiap pilihan raya, pengundi akhirnya akan membuat pilihan berdasarkan dua perkara, pertama sentimen politik yang sedang bertiup dan kedua, rekod calon yang menawarkan diri untuk terus berkhidmat.
Di DUN Pilah, persoalan itu menjadi antara penentu paling menarik menjelang hari pengundian.
Selepas hampir dua minggu berkempen, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dilihat memilih pendekatan yang agak berbeza berbanding kebanyakan calon lain. Tumpuan beliau tidak banyak dihabiskan untuk menyerang lawan atau mengheret isu politik nasional.
Sebaliknya, beliau lebih banyak mengangkat soal kesinambungan pembangunan, kebajikan rakyat serta usaha menyelesaikan isu harian yang dibangkitkan penduduk.
Pendekatan itu bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebagai penyandang kerusi Pilah, beliau sedar kelebihan utamanya bukan terletak pada retorik, sebaliknya pada rekod yang boleh dinilai sendiri oleh pengundi sepanjang tempoh memegang amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco kerajaan negeri.
Sepanjang kempen, hampir setiap program beliau membawa mesej yang sama iaitu meneruskan apa yang telah dimulakan.
Sama ada bertemu warga emas, belia, peniaga kecil mahupun penduduk kampung, fokusnya berkisar kepada pembangunan infrastruktur asas, peluang pekerjaan, bantuan kebajikan serta usaha memperkukuhkan ekonomi setempat.
Apa yang lebih menarik, naratif itu turut selari dengan dapatan daripada beberapa laporan lapangan MalaysiaGazette sepanjang kempen di Kuala Pilah.
Ramai pengundi yang ditemui mengakui kos sara hidup masih menjadi cabaran utama, namun pada masa sama mereka turut mengiktiraf perubahan yang berlaku di Negeri Sembilan sepanjang pentadbiran kerajaan negeri.

Ada yang memuji pembangunan yang semakin tersusun, ada yang berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan untuk golongan muda, manakala peniaga kecil pula mahu kerajaan terus membantu mengurangkan tekanan kos perniagaan.
Walaupun rungutan masih wujud, nada yang kedengaran lebih menjurus kepada harapan agar usaha diteruskan, bukannya menukar haluan semata-mata kerana sentimen politik.
Corak pemikiran seperti ini memperlihatkan kematangan sebahagian pengundi Pilah. Mereka tidak lagi sekadar melihat parti yang bertanding, sebaliknya menilai siapa yang benar-benar turun padang, mudah ditemui dan mampu menyelesaikan masalah di kawasan sendiri.
Jika dibandingkan dengan beberapa kerusi lain di Negeri Sembilan yang lebih dipengaruhi isu nasional atau polemik politik, Pilah memperlihatkan landskap yang sedikit berbeza.
Isu tempatan seperti peluang pekerjaan, pembangunan kampung, kebajikan warga emas, bantuan kepada keluarga muda dan kemudahan asas lebih banyak mendominasi perbualan sepanjang tempoh berkempen.
Malah, strategi Noorzunita yang memberi tumpuan kepada kempen rumah ke rumah juga dilihat bersesuaian dengan karakter pengundi di Pilah.
Hubungan secara langsung dengan masyarakat sering menjadi kelebihan kepada penyandang kerana pengundi dapat menilai sendiri tahap komitmen dan kehadiran wakil rakyat mereka sepanjang tempoh berkhidmat.
Pada masa sama, beliau turut mendapat manfaat daripada naratif lebih besar yang dibawa PH di Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Rekod negeri dalam meningkatkan hasil, menarik pelaburan, memperkukuh rizab kewangan serta memperkenalkan pelbagai inisiatif kebajikan menjadi antara mesej utama yang cuba diterjemahkan sehingga ke peringkat DUN.
Namun begitu, laluan Noorzunita bukanlah mudah. Barisan Nasional meletakkan S. Leza Md Yasin, seorang calon tempatan yang turut mempunyai jaringan akar umbi tersendiri.
Dalam pertandingan satu lawan satu seperti di Pilah, setiap undi menjadi lebih signifikan kerana tiada lagi faktor perpecahan undi seperti yang sering berlaku dalam pertandingan tiga penjuru.
Hakikatnya, Pilah bukanlah kerusi yang boleh dimenangi hanya melalui ceramah besar atau kempen media sosial. Kawasan ini masih banyak bergantung kepada hubungan calon dengan masyarakat, keupayaan menyelesaikan isu setempat dan keyakinan pengundi terhadap individu yang bakal mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri.
Keputusan pada 1 Ogos nanti juga akan menjadi ukuran sama ada pengundi Pilah memilih untuk mengekalkan kesinambungan pentadbiran yang mereka rasai sepanjang beberapa tahun lalu atau memberi peluang kepada pendekatan baharu yang ditawarkan pihak lawan.
Akhirnya, tumpuan kini terarah kepada pertarungan satu lawan satu antara penyandang, Noorzunita daripada PH, dengan calon BN, S Leza.
Keputusan di Pilah bukan sekadar menentukan siapa bakal menjadi wakil rakyat, malah akan menjawab persoalan lebih besar sepanjang kempen ini iaitu sama ada rekod perkhidmatan dan kesinambungan pembangunan masih menjadi faktor utama dalam menentukan pilihan pengundi, atau sentimen politik akhirnya mengatasi segala-galanya. -MalaysiaGazette
















