Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melawat di sekitar Sikamat meninjau permasalahan di kawasan sekitar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Jujur, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

SEREMBAN – Bekas kawasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat didakwa semakin dipinggirkan.

Pelbagai masalah asas terus membelenggu penduduk walaupun Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini mengumumkan manifesto pentadbirannya telah mencapai pelaksanaan 100 peratus, kata calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau mendakwa, keadaan sebenar di lapangan menimbulkan persoalan sama ada kejayaan yang diumumkan benar-benar dirasai rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu itu juga mendakwa, ia kerana masih terdapat jalan berlubang, bonggol jalan rosak, sistem saliran tidak disenggara, kolam takungan dipenuhi semak serta kemudahan awam yang semakin uzur.

“Kalau benar manifesto sudah mencapai 100 peratus, mengapa masih banyak masalah asas yang belum selesai? Ukuran sebenar kejayaan kerajaan bukan laporan pentadbiran tetapi kehidupan rakyat di lapangan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas meninjau beberapa lokasi sekitar DUN Sikamat di sini semalam.

Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melawat di sekitar Sikamat meninjau permasalahan di kawasan sekitar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Desa Rhu, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Tun Faisal mendakwa antara isu paling ketara ialah jalan menuju sebuah klinik kesihatan dan masjid yang didakwa berlubang selama hampir lapan bulan sebelum dibaiki selepas isu berkenaan mendapat perhatian umum.

Menurut beliau, keadaan itu menggambarkan kelewatan tindakan pihak berkaitan walaupun penduduk telah membuat aduan berulang kali.

“Beberapa bonggol jalan di hadapan masjid serta di persimpangan berhampiran Taman Desa Rhu sudah tidak lagi berfungsi sehingga membolehkan kenderaan dipandu laju dan meningkatkan risiko kemalangan.

“Penduduk bukan meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mahu kemudahan asas yang selamat sedangkan mereka terus membayar cukai setiap tahun.

“Kita sendiri turun melihat jalan berlubang menuju ke klinik kesihatan dan masjid. Penduduk memaklumkan lubang itu sudah lapan bulan tidak dibaiki walaupun telah berulang kali diadukan.

“Selepas kita membuat rakaman video dan membawa perhatian kepada isu itu, barulah ia dibaiki pada 24 Julai lalu,” katanya.

Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melawat di sekitar Sikamat meninjau permasalahan di kawasan sekitar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Suliana, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Selain isu jalan raya, Tun Faisal turut membangkitkan keadaan kolam takungan banjir dan parit monsun yang didakwa tidak disenggara sejak bertahun-tahun sehingga dipenuhi semak, mendapan pasir serta tumbuhan liar.

“Keadaan itu bukan sahaja boleh menjejaskan fungsi saliran ketika hujan lebat malah berpotensi menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes yang meningkatkan risiko penularan demam denggi.

“Kita melihat sendiri keadaan kolam takungan banjir yang tidak disenggarakan. Sudah berapa lama kita pun tidak pasti, tetapi jelas kelihatan pokok sudah tumbuh, akar sudah memenuhi kawasan saliran dan pasir juga semakin banyak mendap.

“Kalau kita lihat keadaan ini, timbul persoalan sama ada kolam takungan dan parit monsun ini masih berfungsi sebagaimana asal atau sudah tidak lagi mampu menjalankan fungsinya,” katanya.

Dalam masa sama, Tun Faisal mendakwa Sikamat sebagai antara kawasan pembangunan lama di Seremban semakin hilang identiti apabila banyak taman perumahan kelihatan usang, papan tanda rosak serta landskap tidak lagi mencerminkan sebuah kawasan yang berkembang.

Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melawat di sekitar Sikamat meninjau permasalahan di kawasan sekitar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Desa Rhu, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Beliau membandingkan keadaan itu dengan pembangunan pesat di kawasan baharu seperti Sendayan yang menurutnya terus menerima pelbagai projek dan kemudahan moden.

“Sikamat ini merupakan kawasan lama. Apabila kita bergerak dari satu taman ke satu taman, kita dapat lihat keadaannya memang nampak usang.

“Kalau masuk ke Sikamat, kita tidak nampak suasana yang hidup, tidak nampak vibes yang menarik atau pembangunan yang benar-benar memberi nafas baharu kepada kawasan ini.

“Kawasan lama juga membayar cukai dan berhak menerima pembangunan yang sama. Kita tidak boleh hanya membina kawasan baharu tetapi membiarkan kawasan lama terus merosot,” katanya.

Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melawat di sekitar Sikamat meninjau permasalahan di kawasan sekitar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Taman Desa Rhu, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2026.

Menurutnya, perkara itu mungkin kelihatan kecil namun sebenarnya memberi gambaran awal terhadap tahap penyelenggaraan dan imej sesebuah kawasan.

“Ada papan tanda yang sudah rosak dan hampir runtuh tetapi masih dibiarkan begitu sahaja. Perkara seperti ini mungkin dianggap remeh, tetapi apabila pelawat atau orang luar masuk ke sesuatu kawasan, inilah perkara pertama yang mereka lihat.

“Ia mencerminkan tahap penyelenggaraan dan perhatian terhadap kawasan tersebut,” katanya.

Tun Faisal berkata, jika diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, beliau mahu memberi tumpuan kepada penyelenggaraan infrastruktur, menaik taraf kawasan perumahan lama, mempercepatkan penyelesaian aduan rakyat serta memastikan setiap isu keselamatan awam dipantau sehingga selesai.

“Saya menggesa pengundi menilai sendiri keadaan sebenar di lapangan dan menentukan sama ada prestasi pentadbiran sedia ada benar-benar memenuhi keperluan rakyat atau perubahan diperlukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Itulah matlamat yang saya mahu perjuangkan supaya Sikamat kembali menjadi kawasan yang lebih dinamik, lebih moden dan lebih sejahtera untuk semua penduduk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast