Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam. - Foto: MPC

MUKADIMAH: Berdasarkan laporan Bank Dunia, Malaysia kini berada pada landasan tepat ke arah mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi.

Namun, masih terdapat beberapa kekangan yang boleh menghalang negara mencapai status itu lebih awal termasuk isu ketandusan bakat atau pekerja mahir tempatan serta ketidakpadanan kemahiran dalam sektor pekerjaan.

Bagaimanapun, kekangan itu sedang diatasi menerusi usaha berterusan pelbagai pihak termasuk Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Kepada MalaysiaGazette, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam berkongsi peranan, tanggungjawab dan matlamat agensi terbabit dalam membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi lebih awal, khususnya menerusi program Akademi Dalam Industri (ADI).

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam. – Foto: MPC

MalaysiaGazette: Boleh Dr. kongsikan berkenaan ADI serta peranan MPC dalam pelaksanaan program ini?

Mohamad Norjayadi: MPC merupakan agensi di bawah Kementerian Pelaburan Pendagangan dan Industri (MITI) dengan peranan dan matlamat untuk memastikan negara dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Pertamanya adalah untuk membantu melonjakkan pertumbuhan produktiviti sebanyak 3.6 peratus. Keduanya adalah untuk membantu memastikan ekonomi Malaysia berada pada kedudukan ke-12 teratas berdasarkan penilaian World Competitiveness Ranking di bawah IMD World Competitiveness Index. Untuk kedudukan daya saing, kita sebenarnya sudah melakukan banyak penambahbaikan selepas kejatuhan ke tangga ke-34 pada tahun 2024. Pada tahun lalu misalnya, usaha-usaha reformasi yang dibuat secara berstruktur dan terancang oleh semua agensi terlibat berjaya meningkatkan kedudukan daripada tangga ke-34 kepada tangga ke-25 iaitu meningkat 11 anak tangga. Pada tahun ini, kita sekali lagi berjaya meningkatkan kedudukan daya saing ke tangga ke-15, hasil daripada usaha semua pihak.

Tapi persoalan pokok kita adakah peningkatan dari segi kedudukan daya saing dan peningkatan pertumbuhan produktiviti ini dapat diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat dan sektor perniagaan? Terutama kalau kita lihat dari perspektif produktiviti yang mana komponen pentingnya adalah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penempatan pekerjaan. Kita percaya bahawa kecekapan modal fiskal dan kecekapan modal insan penting untuk memastikan bahawa sasaran ini dapat dicapai.

Apabila menyentuh mengenai kecekapan modal insan, di sinilah sebenarnya fungsi dan peranan MPC iaitu untuk memastikan bakat-bakat tempatan dilatih dan mendapat pendedahan yang sewajarnya. Ini untuk memastikan industri yang mengambil pekerja-pekerja tempatan ini mempunyai tenaga kerja mahir yang dapat membantu melonjakkan produktiviti.

Dan dalam konteks ini ADI memerlukan pendekatan secara whole of government di mana kementerian dan agensi yang terlibat terutama MITI; Kesuma; Kementerian Ekonomi; KPT dan KPM duduk bersama semasa di peringkat mereka bentuk program ADI. Ini bagi mengenal pasti strategi untuk membangunkan program yang fokus atau pendekatannya adalah work integrated learning dan berdasarkan konsep place and train, berbanding kaedah konvensional.

Program ADI juga distrukturkan mengikut keperluan sebenar industri. Ini penting sebab kita percaya untuk bergerak ke hadapan, pembangunan tenaga bakat mestilah mengikut acuan dan keperluan daripada industri. Ini supaya kita dapat memastikan industri mendapat tenaga kerja yang betul-betul memenuhi keperluan industri itu sendiri dan kita juga dapat mengurangkan isu ketidakpadanan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan.

Melahirkan pekerja mahir yang memenuhi kehendak pasaran dan industri berpendapatan tinggi antara matlamat program ADI. – Gambar hiasan.

MalaysiaGazette: Apa yang membezakan ADI dengan program latihan industri lain?

Mohamad Norjayadi: Apa yang uniknya dalam pelaksanaan ADI ini adalah ia bukan sekadar program latihan, tetapi satu bentuk struktur pembangunan modal insan negara. Ini yang kita cuba bawa supaya pembangunan bakat itu dipacu oleh penawaran pekerjaan. Ini penting kerana kita bukan sahaja dapat melahirkan bakat, tetapi syarikat-syarikat juga secara aktif dapat menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada bakat-bakat kita.

Ini sebenarnya selari dengan saranan yang diketengahkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dan Bank Dunia yang menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi masa hadapan sebenarnya amat bergantung kepada peningkatan produktiviti pekerja, pengurangan ketidakpadanan kemahiran dan pengwujudan pekerjaan berkualiti. Kejayaan ADI bukan sahaja diukur melalui jumlah peserta yang dilatih, tetapi melalui peningkatan produktiviti, kebolehpasaran, pendapatan pekerja dan kesannya kepada daya saing ekonomi negara.

 

MalaysiaGazette: Bagaimana dengan sambutan yang diberikan oleh pihak industri terhadap program ADI?

Mohamad Norjayadi: Secara keseluruhannya, pihak industri menyambut baik program ini dan sejak dilaksanakan, kita menerima pendaftaran sebanyak 2,843 syarikat daripada pelbagai sektor strategik seperti semikonduktor, automotif, pembuatan, logistik, hospitaliti; perkhidmatan dan banyak lagi. Syarikat-syarikat ini telah memberi peluang dan ruang kepada seramai 13,474 bakat untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat masing-masing. Sejak ADI diperkenalkan juga, jumlah bakat yang berdaftar adalah sekitar 54,410 orang. Jumlah penempatan bakat ini dalam industri ini adalah hampir 25 peratus daripada jumlah keseluruhan yang telah berdaftar. Kita nampak masih banyak lagi ruang dan peluang untuk kita tempatkan bakat ini sekiranya jumlah syarikat yang berdaftar ini dapat dipertingkatkan.

Seperti dilaporkan oleh World Bank, Malaysia sekarang bukan lagi berhadapan dengan masalah kekurangan pekerjaan, tetapi untuk mendapatkan pekerjaan yang berkualiti yang boleh menawarkan gaji yang tinggi. Jadi kita perlu memastikan penyertaan dalam tenaga buruh perlu disusuli dengan gaji yang tinggi.

Paling penting, laporan World Bank turut menyentuh berkaitan dengan keupayaan syarikat untuk menawarkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.  Sebenarnya pihak syarikat juga berminat untuk mendapatkan tenaga kerja mahir yang berpeluang dilatih di syarikat mereka secara berstruktur. Jadi, kita bangunkan program ADI ini untuk memastikan bahawa konsep place and train ini dapat mengurangkan tempoh untuk pembelajaran bakat sebelum mereka dapat melaksanakan kerja dengan cekap di syarikat-syarikat tersebut.

Antara kejayaan yang dicapai menerusi program ADI.

MalaysiaGazette: Bagaimana pula dengan manfaat kepada perantis atau bakat yang menyertai ADI?

Mohamad Norjayadi: Apabila bakat-bakat ini menyertai industri menerusi program ADI, mereka bukan lagi dianggap sebagai pelatih, tetapi merupakan pekerja dan mendapat gaji. Selain itu, ada insentif atau elaun yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu bakat-bakat ini memulakan latihan di syarikat terlibat. Jadi, bakat-bakat ADI ini sebenarnya terus bekerja dan pada masa yang sama menjalani latihan di syarikat iaitu secara 80 peratus kepada praktikal dan 20 peratus secara teori.

Penekanan kepada praktikal ini dapat mempercepatkan peningkatan kemahiran pekerja-pekerja ini untuk melaksanakan tugas dengan cekap di industri. Bagi bakat yang mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang tamat dalam industri, mereka akan menerima sijil yang boleh memberi nilai tambah, sama ada mahu kekal di dalam syarikat itu ataupun sekiranya mendapat tawaran tempat lain pada masa depan. Tetapi kita sedaya upaya mahu memastikan pengekalan bakat di dalam syarikat ini dengan menyedikan laluan kepada mereka untuk terus berkembang, daripada peringkat sijil kepada diploma dan seterusnya kepada ijazah industri.

Ini yang kita cuba bantu supaya peralihan daripada tenaga kerja separa mahir kepada pekerja mahir itu dapat dibangunkan secara berstruktur dan dengan kaedah yang lebih cekap dan memberi peluang kepada bakat itu sendiri untuk membangunkan kemahiran mereka.

MalaysiaGazette: Adakah program ADI ini turut menyokong kepada perkembangan TVET?

Mohamad Norjayadi: Kalau lihat sekarang, Malaysia memerlukan tenaga kerja mahir dan usaha reformasi pasaran buruh melalui usaha berstruktur telah dilakukan dengan memberi penekanan kepada TVET. Ini bagi memastikan kerajaan dan industri sentiasa bekerjasama untuk membangunkan program yang dapat menghubungkan kemahiran dan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri. ADI merupakan sebahagian daripada ekosistem TVET negara yang memperkukuhkan hubungan antara latihan dan pekerjaan, serta paling penting kecekapan yang dihasilkan daripada latihan dan pekerjaan itu sendiri akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti. Jika TVET menyediakan kemahiran, ADI pula dapat memastikan kemahiran tersebut dapat diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti dan peningkatan produktiviti di tempat kerja menerusi kerjasama rapat dengan industri.

Pendekatan ini sebenarnya menyokong aspirasi kerajaan di bawah RMK-13 untuk memperkukuhkan TVET, meningkatkan komposisi tenaga kerja mahir kepada 35 peratus menjelang 2030, seterusnya mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing serta meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat.

Pada masa sama, ADI turut menyokong pelaksanaan New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 dengan membangunkan bakat yang memenuhi keperluan sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, aeroangkasa, digital, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui. Jadi ringkasnya, ADI dapat memperkukuh usaha untuk memperkasakan TVET dengan menyediakan laluan dan menghubungkan di antara keperluan industri dengan bakat yang dapat dilatih dengan segera. Ini yang saya lihat bagaimana ADI dapat memperkasakan pelaksanaan TVET negara.

Manfaat kepada perantis atau bakat yang menyertai ADI.

MalaysiaGazette: Apa aspek penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam program ADI?

Mohamad Norjayadi:  Melangkah ke hadapan, apa yang cuba kita lakukan adalah memastikan usaha untuk melahirkan tenaga kerja mahir dapat diukur kejayaannya melalui pemantauan secara berstruktur terhadap bakat-bakat yang telah dilahirkan melalui program ADI ini menerusi gaji yang diterima. Sebab dalam usaha kita melahirkan negara berpendapatan tinggi, adalah penting untuk kita pastikan bahawa tenaga kerja yang dilatih sama ada melalui saluran di bawah ADI ataupun saluran-saluran lain yang ada di negara ini diukur keberkesanannya daripada tahap gaji itu sendiri.

Kita tahu sekarang terdapat isu berkenaan pertumbuhan gaji yang selalu disebut stagnan (tidak berganjak). Sebenarnya pertumbuhan gaji itu berlaku, cuma agak perlahan. Kadar pertumbuhan gaji yang perlahan juga dapat kita lihat dari segi kadar pertumbuhan produktiviti yang turut perlahan. Maksudnya kadar pertumbuhan gaji ini bukan berpacukan kecekapan, tetapi oleh faktor-faktor lain yang menyebabkan kita berhadapan dengan masalah pertumbuhan gaji sehingga terpaksa disokong oleh syarikat ataupun bantuan daripada kerajaan. Kita lihat kerajaan telah melaksanakan dasar gaji progresif yang dapat membantu meningkatkan gaji pekerja tempatan. Selain itu kadar gaji minima juga telah membantu dan memberi kesan kepada pertumbuhan gaji tetapi masih lagi pada kadar perlahan. Jadi untuk meningkatkan lagi kadar pertumbuhan gaji yang dipacu oleh kecekapan dan produktiviti, maka kita perlu melihat kepada modal fizikal dan modal insan kita.

Dalam program ADI ini, kecekapan modal insan adalah merupakan tumpuan utama bagi memastikan output pengeluaran dan gaji setiap pekerja dapat kita tingkatkan. Ini penting supaya apabila pekerja cekap, ia dapat membantu meningkatkan pulangan yang tinggi kepada syarikat dan seterusnya memberi gaji yang tinggi kepada pekerja.

Untuk memastikan perkara ini dicapai, MPC memperkukuhkan ekosistem pelaksanaan program ADI dengan membangunkan pemantauan kesannya melalui pengukuran produktiviti. Kita telah membangunkan kalkulator atau pengukuran menerusi program dikenali ProShare yang dapat membantu syarikat melihat sejauh mana kadar pertumbuhan produktiviti tersebut dicapai dan kesannya kepada pendapatan pekerja. Ini juga adalah usaha penambahbaikan supaya penempatan pekerja di syarikat-syarikat melalui program ADI dapat disusuli dengan peningkatan gaji dan dipantau dari segi prestasi pertumbuhan produktiviti.

Manfaat kepada syarikat dan majikan menerusi program ADI.

MalaysiaGazette: Apakah ada kerjasama dengan syarikat antarabangsa termasuk di luar negara dalam penempatan bakat melalui ADI?

Mohamad Norjayadi: Di bawah Malaysia Productivity Blueprint (MPB), kita ada sehingga 14 subsektor yang merangkumi sektor ekonomi utama seperti perkilangan; pembuatan; perkhidmatan; pelancongan dan sebagainya. Kita juga ada subsektor elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu dan dilaksanakan oleh industri. Keahlian daripada subsektor E&E ini pula adalah daripada syarikat-syarikat antarabangsa yang terletak di bawah Malaysia Semiconductor Industry Association dan ini memberi ruang kepada pengambilan pekerja-pekerja tempatan.

Kita juga sedang berusaha supaya lebih banyak syarikat antarabangsa dapat mengambil pekerja-pekerja tempatan di bawah program ADI dan pemantauan berterusan juga dilakukan untuk memastikan pengambilan itu turut disertai dengan kadar gaji yang tinggi. Kita lihat kebanyakan syarikat-syarikat yang menyertai program ADI adalah di bawah rantaian nilai untuk syarikat-syarikat antarabangsa. Di sini kita dapat membantu memastikan bahawa keperluan syarikat antarabangsa ini disokong oleh kalangan tenaga kerja daripada ADI itu sendiri.

Sebahagian graduan yang dilahirkan menerusi program ADI. – Foto MPC

MalaysiaGazette: Adakah program ADI mampu membantu negara mencapai status berpendapatan tinggi?

Mohamad Norjayadi: Berdasarkan laporan OECD, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai negara berpendapatan tinggi. Bagaimanapun masih ada lagi usaha-usaha yang perlu kita lakukan dan pergiatkan supaya sasaran itu dapat dicapai dengan cepat dan kekangan yang menghalang kepada sasaran itu dicapai dikenal pasti dan diambil tidakan.

Jika dilihat isu yang dibangkitkan sama ada di dalam laporan OECD ataupun laporan World Bank, kita berhadapan dengan situasi di mana ketidakpadanan bakat dengan industri masih berlaku dan meningkat peratusannya. Kalau lebih 10 tahun lalu kadar ketidakpadanan ini hanya 30 peratus, tetapi sekarang meningkat kepada 36 peratus. Jadi peningkatan ini mencerminkan bahawa negara perlu memastikan dari segi penawaran peluang pekerjaan yang ada hendaklah memenuhi bekalan tenaga kerja. Ketika ini, dari segi prestasi peratusan ketidakpadanan itu mencerminkan bahawa kebanyakan graduan atau tenaga kerja atau bakat-bakat ini masih lagi berhadapan dengan situasi tidak dapat memenuhi keperluan tenaga kerja tempatan. Sekiranya negara tidak dapat memastikan tenaga kerja tempatan dapat memenuhi keperluan kerja sekarang dan masa hadapan, kita akan berhadapan dengan kerugian dari segi upah yang sepatutnya diterima oleh pekerja-pekerja, yang tidak dapat mencapai kadar upah sebenar disebabkan oleh ketidakpadanan tersebut.

Jadi di bawah program ADI sama ada yang bersifat perantisan ataupun pekerjaan, kita mahu memastikan bahawa tenaga kerja tempatan dapat memenuhi keperluan dan mengurangkan kadar ketidakpadanan. Semua pihak sekarang melihat perkara ini dengan serius dan sekiranya perkara ini dilihat berdasarkan keperluan industri yang mana modul dan program direka berdasarkan keperluan industri, kita mungkin dapat mengurangkan kadar ketidakpadanan tersebut.

Sebenarnya isu ini bukan sahaja di Malaysia, negara-negara lain seperti United Kingdom (UK) dan Jerman juga berdepan isu sama. Tetapi negara-negara ini dapat mengurangkan impak isu ketidakpadanan disebabkan kadar gaji di negara itu tinggi. Itu sebabnya kita cuba memastikan kadar gaji yang diterima oleh tenaga kerja tempatan dapat ditingkatkan selaras dengan kemahiran dan kepakaran yang dapat dibangunkan melalui program seperti ADI. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast