Jentera PH melakukan 'flashmob' dengan mengibarkan bendera dan poster pada hari terakhir kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pengundi Negeri Sembilan disaran mengekalkan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang stabil, selain menolak kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan masih tidak mempunyai hala tuju politik yang jelas.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, kerajaan PH di Negeri Sembilan yang diterajui Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Parti Amanah Negara telah membuktikan rekod pentadbiran yang baik, bersih serta mampu mentadbir negeri secara inklusif.

Menurut beliau, rekod tersebut menjadi asas kukuh untuk rakyat terus memberikan mandat kepada kerajaan sedia ada berbanding mengambil risiko menyokong gabungan BN-PN yang masih dilihat rapuh serta tidak mempunyai kesepakatan jelas di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Rakyat Negeri Sembilan yang bijak akan memilih kerajaan yang telah sedia ada. Tidak ada alasan yang kuat untuk digantikan dengan suatu kerjasama politik yang lemah.

“PH menawarkan manifesto yang menggariskan 10 komitmen utama, antaranya mengekalkan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat, memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi serta menyediakan 20,000 rumah mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persaingan menjelang hari pengundian PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan PH mempertahankan pentadbiran negeri berdepan cabaran daripada BN dan PN.

Dr. Mashitah Mohd Udin

Mashitah turut berpandangan kerjasama BN-PN masih dibayangi percanggahan pendirian dalam kalangan pemimpin kedua-dua gabungan itu.

Ia termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor supaya tidak berkempen di Negeri Sembilan susulan ucapan kontroversi membabitkan isu kaum dan sensitiviti masyarakat majmuk.

Selain itu, katanya, kenyataan sinis Ahmad Zahid terhadap cadangan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) turut mencerminkan perbezaan pendirian dalam blok berkenaan.

Mengulas kepentingan pengundian esok, Mashitah berkata, keputusan rakyat Negeri Sembilan bukan sahaja menentukan pentadbiran negeri, malah mampu mempengaruhi landskap politik negara menjelang PRU16.

“Siapa jua kerajaan, rakyat Negeri Sembilan harus tidak memperjudikan masa depan dengan mengundi pakatan politik yang rapuh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast