Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Syahir Sulaiman bercakap kepada media berhubung kenyataan 3R oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) , Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 04 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pas menempelak gaya kempen yang dilakukan segelintir pemimpin parti pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, taktik menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam terhadap Pas hanya kaedah politik lapuk yang sudah tidak lagi relevan.

Menurutnya, pendekatan Bersatu yang berkempen sedemikian sepatutnya ditinggalkan oleh pemimpin berintelek.

“DAP pun sudah tidak guna kaedah lapuk itu.

“Intelek seperti YB Putrajaya, saya harapkan bercakap soal dasar dan polisi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kempen PRN Negeri Sembilan yang disentuh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

“Terima kasih ‘kempen’ Pas.

“Tanpa selindung, Bersatu = PH (Pakatan Harapan).

“Dengan hormat, YB Putrajaya asal Kelantan, patut lebih tahu,” tulisnya lagi.

Syahir berkata, masyarakat Cina, India, dan Siam di Kelantan telah hidup damai di bawah pentadbiran Pas sejak tahun 1990 lagi tanpa sebarang diskriminasi.

“Termasuk di Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4), hak bukan-Islam kekal terpelihara.

“Entah mengapa, Pas ‘dimomokkan’ di Negeri Sembilan oleh Bersatu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syahir secara sinis menyarankan agar kerja-kerja menyerang Pas diserahkan kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), melainkan ada pihak yang berhasrat untuk bertukar kerjaya.

Terdahulu, menerusi satu siri kempen Bersatu, Radzi yang juga merupakan Naib Presiden Bersatu berkata, masyarakat bukan Islam yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) akan menyokong Pas.

Jelas Radzi lagi, Pas di Negeri Sembilan hanya menggunakan nama PN untuk menunjukkan kuasa moderate mereka dalam pilihan raya ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast