Keadaan terkini anggota Rejimen 22 Komando, Truper Abdul Hamid Talib, 29, selepas menjalani proses pembedahan pemasangan implan titanium pada tempurung kepalanya.

KUALA LUMPUR – Tahap kesihatan anggota Rejimen 22 Komando, Truper Abdul Hamid Talib, 29, kini dilaporkan kembali merosot selepas menjalani proses pembedahan pemasangan implan titanium pada tempurung kepalanya.

Perkara itu disahkan oleh kakaknya, Norelini Sajali, 29, berkata, adiknya yang mengalami kecederaan otak traumatik kini terlantar sejak hampir lima bulan lalu tidak mampu bercakap, makan atau bergerak,

“Keadaan adik sekarang, dia memang tidak boleh bercakap, makan dan tenaga di badannya hanya bergantung kepada susu yang keluar dan masuk untuk teruskan hidup, itu sahaja.

“Memang ditahap pada orang yang sihat, dia (adik) tidak boleh buat apa-apa sekarang, hanya terlentang berbulan-bulan di atas katil,” katanya pada pemberita.

Kakak kepada Truper Abdul Hamid Talib, Norelini Sajali ditemui dalam sidang media di pejabat SUHAKAM, hari ini.

Sebelum mangsa menjalani pembedahan pemasangan titanium pada tempurung pada 26 Jun lalu, Norelini memberitahu adiknya menunjukkan sedikit tindak balas apabila ahli keluarga hadir melawatnya.

“Sebelum operasi, dia masih ada respons dan bila keluarga datang, dia nampak, kita cakap suruh salam, dia masih boleh beri reaksi.

“Tapi lepas buat operation pasang titanium di kepala, keadaan dia kembali merosot macam sebelum ini. Sekarang memang hampir tiada respons,” luahnya.

Terdahulu, ahli keluarga Abdul Hamid bersama Lawyers For Liberty (LFL) hadir pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), bagi menyerahkan memorandum kepada Naib Pengerusi SUHAKAM, Datuk Mariati Robert di sini hari ini.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga Abdul Hamid, Rania Aljunied berkata, SUHAKAM akan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari bagi mendaftarkan aduan berhubung kes tersebut sebelum semua agensi berkaitan dipanggil bagi membantu sistem.

“SUHAKAM akan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari untuk memasukkan kes ini dalam sistem mereka selepas itu seorang pegawai akan dilantik bagi mengendalikan kes ini serta merakam keterangan ahli keluarga.

“Mereka juga akan bertemu dengan semua agesni berkaitan bagi mendapatkan penjelasan seterusnya menjalankan siasatan berhubung kes ini,” ujarnya.

Peguam mewakili ahli keluarga Truper Abdil Hamid Talib, Rania Aljunied ditemui dalam sidang media di pejabat SUHAKAM di sini hari ini.

Rania menambah, ahli keluarga turut berharap siasatan dapat dijalankan secara telus memandangkan sehingga kini tiada sebarang pemakluman diterima mengenai perkembangan siasatan dalaman oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Mungkin ada siasatan dalaman dilakukan, tetapi keluarga langsung tidak dimaklumkan langsung mengenai status siasatan atau hasilnya malah tiada penjelasan diberikan kepada keluarga.

“Disebabkan itu kami semua hadir ke SUHAKAM hari ini kerana mahukan ketelusan berhubung kes ini termasuk melakukan beberapa tuntutan kebajikan kepada mangsa,” jelasnya.

Terdahulu, TDM menegaskan kebajikan anggota Rejimen 22 Komando, Truper Abdul Hamid Talib, sentiasa menjadi keutamaan, malah tindakan perundangan sudah diambil.

Jelasnya, siasatan dalaman TDM juga telah selesai dengan tindakan tatatertib terhadpa pelaku diambil termasuk proses pemberhentian perkhidmatan yang sedang dilaksanakan.

Untuk rekod, Truper Abdul Hamid merupakan Grup Gerak Khas (GGK) mengalami kecederaan parah ketika bertugas di Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, Johor pada 11 Mac.

Abdul Hamid dilaporkan mengalami trauma kepala yang teruk, dengan sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang susulan tahap kecederaan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast