SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abu Bakar mengakui beliau sudah mengerah segala kudrat sepanjang tempoh 14 hari berkempen dan kini menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pengundi.
Beliau berkata, segala usaha telah dilakukan sepanjang kempen termasuk mendekati seramai mungkin pengundi sebelum memasuki hari pengundian.
“Saya dah habis gear berkempen. Semalam saya buat solat hajat dan zikir munajat di bilik gerakan utama saya. Itu usaha terakhir yang saya rasa perlu kita buat.
“Kita dah usaha sebaik mungkin. Saya dah beri sepenuh tenaga sepanjang dua minggu ini. Kini saya hanya menunggu keputusan daripada pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette pada hari terakhir kempen PRN Negeri Sembilan.
Menurut Ahmad Faez, beliau mengakhiri kempen dengan menziarahi individu serta keluarga yang pernah menerima bantuannya sebagai tanda penghargaan dan memohon restu.
“Hari ini saya cuma jumpa orang-orang yang saya pernah bantu.
“Bukan saya nak meraih undi. Saya cuma mahu mengucapkan terima kasih serta memohon restu daripada mereka. Saya rasa kempen selama dua minggu ini tidak lengkap jika saya tidak bertemu mereka,” katanya.

Ahmad Faez berkata, beliau juga tidak pernah melupakan keluarga angkat di bawah jagaannya dan sentiasa memastikan bantuan disalurkan secara berkala.
“Saya memang setiap dua minggu akan hantar bantuan. Kalau saya tak dapat hantar, saya sendiri akan datang ke rumah mereka.
“Saya dah janji kepada semua keluarga angkat saya, walaupun satu hari nanti saya tidak lagi memegang jawatan, selagi saya mampu saya akan terus membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata, sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen juga amat menggalakkan.
“Alhamdulillah, setiap hari sepanjang 14 hari berkempen ini, penerimaan daripada pengundi sangat baik.
“Saya harap pengundi di Labu akan memberi sokongan kepada saya dan memastikan kemenangan Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Seramai 859,750 daripada 889,940 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRN Negeri Sembilan ke-16 esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, berkata daripada jumlah keseluruhan itu seramai 7,391 pengundi sudah mengundi secara pos.
Sebanyak 401 pusat mengundi akan dibuka bermula jam 8 pagi membabitkan 1,668 saluran yang akan ditutup jam 6 petang. – MalaysiaGazette
















