KUALA LUMPUR — Sebanyak 89 ekor kura-kura daripada dua spesies yang dilindungi berjaya diselamatkan dalam serbuan di dua lokasi di Lunas dan Kulim, Kedah semalam.
Menerusi serbuan itu seorang lelaki tempatan ditahan bersama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM190,000 menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (Brian Exotic).
Operasi itu dijalankan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman bersama Unit Jenayah Hidupan Liar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pemilikan hidupan liar yang dilindungi.
Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan tersebut berjaya merampas 74 ekor kura-kura ‘Sulcata’ dan 15 ekor kura-kura ‘Yellow Pond Turtle’ yang dipercayai disimpan tanpa lesen sah sebelum dipasarkan kepada pembeli.
“Menerusi serbuan itu, kita turut merampas sebuah SUV dan sebuah telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM190,000.
“Rampasan itu membabitkan spesies yang dilindungi dan dipercayai disimpan tanpa lesen yang sah sebelum dipasarkan kepada pembeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) (Pindaan 2022).
Dalam perkembangan sama, Mohd Zaki berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, Operasi Bersepadu Khazanah merekodkan 53 kes, 56 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM93.88 juta.
Menurutnya, WCB/PSK akan terus mempergiat operasi bersepadu, memperkukuh kerjasama antara agensi serta memperluaskan perkongsian risikan bagi memastikan rangkaian sindiket penyeludupan dan perdagangan haram hidupan liar dapat ditumpaskan serta dibawa ke muka pengadilan.
“Tidak akan ada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan, perdagangan haram hidupan liar mahupun jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau menegaskan, WCB/PSK kekal komited melindungi khazanah negara, keselamatan awam dan kepentingan negara menerusi tindakan penguatkuasaan yang tegas, profesional serta berterusan. – MalaysiaGazette
















