Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR Dua calon DAP mewakili Pakatan Harapan (PH) yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan melaksanakan amanah yang diberikan pengundi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Siau Meow Kong, merakamkan penghargaan kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepada PH sehingga membolehkan beliau mempertahankan kerusi tersebut.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan kempen yang disifatkan bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.

“Kemenangan ini adalah milik kita bersama. Pilihan Raya Negeri telah berakhir, namun khidmat kepada rakyat baru sahaja bermula.

“Cabaran di hadapan pastinya tidak mudah, tetapi saya berjanji tidak akan mensia-siakan mandat yang telah diberikan,” katanya menerusi hantaran menerusi Facebook DAP hari ini.

Sementara itu, ADUN Bahau, Teo Kok Seong turut menzahirkan penghargaan kepada pengundi yang terus memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili kawasan berkenaan.

Menurutnya, kemenangan itu bukan miliknya semata-mata, sebaliknya hasil sokongan semua pihak yang mengimpikan masa depan Bahau yang lebih baik.

“Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik setiap insan yang percaya kepada harapan, yakin kepada perubahan dan mengimpikan masa depan Bahau yang lebih baik.

“Mulai hari ini, pilihan raya telah berakhir dan tugas untuk berkhidmat kepada rakyat bermula secara rasmi,” katanya.

Kok Seong berjanji akan terus turun padang mendengar suara rakyat, menyelesaikan isu-isu setempat serta berusaha membawa lebih banyak pembangunan dan pertumbuhan ekonomi ke Bahau demi kesejahteraan penduduk.

Kedua-dua pemimpin itu turut menyeru rakyat supaya terus berganding bahu membangunkan kawasan masing-masing dan Negeri Sembilan selepas berakhirnya saingan PRN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast