KUALA LUMPUR — Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan kes kematian seorang guru di sebuah sekolah di Hulu Selangor semalam.
Selain itu khidmat sokongan psikososial turut digerakkan bagi membantu warga sekolah yang terkesan dengan insiden berkenaan.
JPN Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya turut menumpukan usaha untuk memastikan keluarga mangsa menerima bantuan sewajarnya sepanjang tempoh berdepan ujian tersebut.
Menurut kenyataan itu, jabatan berkenaan berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga guru terbabit yang meninggal dunia di sekolah.
“Kes ini kini berada dalam siasatan pihak polis dan JPN Selangor akan memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Pada masa sama, khidmat sokongan psikososial dilaksanakan khusus bagi membantu warga sekolah yang terjejas akibat kejadian ini,” katanya.
JPN Selangor turut menyeru orang ramai supaya menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang berlangsung.
Katanya, pihak jabatan mendoakan agar keluarga mangsa diberikan ketabahan, kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi dugaan tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















