JEMPOL – Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang apabila mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih enam kali ganda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.
Calon BN, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berjaya menewaskan tiga pencabarnya dalam saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), G. Manivanan, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk R. Sri Sanjeevan, serta calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Dayana Dal.
Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd. Zaidy memperoleh 6,854 undi menewaskan Manivanan yang mendapat 2,372 undi, Sanjeevan (2,191 undi) dan Dayana Dal (179 undi).
Ia menyaksikan Mohd Zaidy menang dengan majoriti 4,482 undi, meningkat berbanding majoriti 693 undi pada pilihan raya lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan parti itu di kerusi tradisinya.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol di sini malam ini.
Walaupun hilang deposit kerana tidak mendapat undi minimum 12.5 peratus, Dayana Dal masih mencipta sejarah sebagai calon wanita tunggal daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) yang bertanding di kerusi berkenaan.
DUN Jeram Padang mempunyai 16,590 pengundi berdaftar dengan komposisi pengundi terdiri daripada 58.1 peratus Melayu, 27.1 peratus India, 14.2 peratus Cina dan 0.7 peratus kaum lain-lain. – MalaysiaGazette
















