Oleh: ChM. Dr. Zalilah Murni Yunus
DALAM tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, penglibatan masyarakat dalam aktiviti peminat automotif di Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan. Kemajuan teknologi komunikasi serta penggunaan media sosial telah memudahkan penyebaran maklumat berkaitan aktiviti perhimpunan dan konvoi permotoran.
Menariknya, aktiviti ini bukan sahaja melibatkan golongan belia, malah turut disertai oleh remaja, golongan dewasa dan warga emas yang berkongsi minat terhadap dunia automotif. Platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube menjadikan aktiviti kelab lebih mudah dipromosikan. Seseorang yang menonton video konvoi atau pameran kenderaan akan terdorong untuk menyertai program yang sama. Kesan “fear of missing out” (FOMO) juga mendorong lebih ramai pengguna menyertai program automotif bagi merasai sendiri pengalaman tersebut.
Kebanjiran model kenderaan baharu menjadi pemangkin sekali gus mewujudkan trend semasa yang mana pengeluar motosikal dan kereta kini semakin agresif memperkenalkan model baharu dalam pelbagai kategori. Sambutan terhadap program perhimpunan peminat kenderaan jenis motosikal berkuasa tinggi, motosikal kapcai, skuter premium, kereta sport dan kenderaan pacuan empat roda (4×4) semakin mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Setiap model mempunyai komuniti tersendiri yang ingin berkongsi pengalaman, aksesori dan modifikasi. Bukan sekadar mempamerkan kenderaan, tetapi ia juga untuk tempat bertukar pengalaman penggunaan, mendapatkan maklumat penyelenggaraan, mengenali pemilik model yang sama dan menyertai aktiviti konvoi serta jelajah.
Cengkaman nostalgia terhadap jenama kenderaan pula menjadi faktor utama terhadap kemunculan kelab pemilik motosikal dan kereta keluaran lama. Jenama-jenama seperti Yamaha RX-Z, Honda EX5, Honda C70, Proton Wira, Proton Satria Gti, Perodua Kancil dan Toyota Corolla KE70 tetap mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.
Pemilik sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk memulihkan kenderaan lama kerana nilai sentimentalnya lebih tinggi daripada nilai pasaran. Ibarat serampang dua mata, sama ada model baharu atau lama, tarikan dunia automotif ternyata berjaya menghimpun semua generasi untuk membina identiti dalam komuniti automotif.
Baik golongan muda atau sudah berusia, aktiviti berkumpul ini dah jadi satu lubuk untuk lari sekejap daripada tekanan belajar atau kerja dengan membina persahabatan dengan pemilik kenderaan yang lain. Namun, sejauh mana brotherhood ini membawa impak positif kepada masyarakat? Melalui aktiviti yang dijalankan, golongan remaja berpeluang menimba pengalaman dan memperoleh tunjuk ajar daripada ahli yang lebih berpengalaman.
Pada masa yang sama, golongan dewasa dapat membimbing generasi muda mengenai etika pemanduan yang berhemah, disiplin semasa menyertai konvoi serta kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya. Mereka ini yang menyokong kepada aktiviti bantuan bencana banjir, program kebajikan anak yatim, kutipan dana untuk ahli yang ditimpa musibah, pameran kenderaan, konvoi amal, kempen keselamatan jalan raya, pertandingan modifikasi dan sesi perkongsian ilmu berkaitan penyelenggaraan serta keselamatan kenderaan.
Selain itu, impak kepada pertumbuhan ekonomi negara dan komuniti setempat ternyata luar biasa. Penganjuran program berskala besar contohnya mampu menarik kehadiran peserta dari pelbagai negeri, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman, bengkel penyelenggaraan serta kedai aksesori kenderaan.
Namun, terdapat beberapa isu yang timbul dan perlu diberi perhatian jika program sebegini ingin kekal relevan. Isu yang paling hangat diperkatakan ialah tindakan segelintir peserta yang melakukan aksi berbahaya seperti memandu secara melulu, berlumba haram atau menggunakan ekzos yang telah diubah suai. Ia bukan sahaja merisikokan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain tetapi juga menyebabkan kebimbangan ahli keluarga di rumah.
Masyarakat kini mula lantang menyuarakan kebimbangan mengenai tahap risiko kemalangan semasa berkonvoi. Selain itu, program automotif berskala besar berkemungkinan mengakibatkan pencemaran alam sekitar akibat pembuangan sampah secara tidak terkawal dan pelepasan asap daripada kenderaan. Bagi mengelakkan komuniti ini terus dipandang serong, langkah pencegahan awal wajib diambil.
emilik kenderaan seharusnya perlu mendengar keluhan masyarakat dan bertindak sewajarnya dengan bersikap matang dan mengekalkan disiplin bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Penganjur disarankan menyediakan kemudahan pengurusan sisa yang mencukupi, melaksanakan kempen kesedaran kebersihan dan menggalakkan penggunaan kenderaan yang diselenggara dengan baik
Pada asasnya penyertaan ke program automatif merupakan satu minat yang mampu memberikan impak positif kepada semangat toleransi dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat dan negara sekiranya diurus secara profesional serta berlandaskan undang-undang. Oleh itu, tahap pelaksanaan setiap aktiviti yang dilaksanakan hendaklah dirancang dengan teliti dan beretika serta bermanfaat kepada penyatuan peminat kenderaan bermotor di pelbagai peringkat umur.
Penulis adalah Pensyarah Kanan,
Jabatan Kimia dan Fizik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
















