SEREMBAN – Suasana di pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Sikamat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar di sini mula meriah seawal pukul 7 pagi apabila pengundi dilihat tiba lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, hari ini.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati, kira-kira sejam sebelum pusat mengundi dibuka secara rasmi pada pukul 8 pagi, orang ramai sudah mula menunggu di pintu masuk pusat mengundi bagi menunggu giliran untuk memasuki kawasan mengundi.

Dua pengundj N.13 Sikamat yang hadir awal di pusat mengundi di Institu Perguruan Kampus Raja Melewar, Seremban, termasuk See Ping Yen dan Kahar Zainuddin.

Golongan warga emas antara yang paling awal hadir bagi memastikan proses pengundian dapat dilakukan dengan lebih selesa sebelum keadaan menjadi lebih sibuk.

Tepat pukul 8 pagi, pintu pusat mengundi dijangka dibuka dan pengundi mula dibenarkan memasuki saluran mengundi mengikut nombor saluran yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada masa sama, petugas SPR dilihat sudah bersiap sedia di setiap lokasi semakan dan pemeriksaan (check point) di sekitar pusat mengundi bagi melancarkan proses pengundian serta menerima ketibaan pengundi DUN Sikamat.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan di lokasi strategik bagi memastikan kawalan keselamatan dan lalu lintas berada dalam keadaan terkawal sepanjang proses pengundian berlangsung.

Kerusi DUN Sikamat menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan parti penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), yang kali ini diwakili Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Nor Azman Mohamad, berdepan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz serta calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah.

Berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan SPR, DUN Sikamat mempunyai lebih 34,103 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya kali ini.

DUN Sikamat merupakan antara kerusi tumpuan pada PRN Negeri Sembilan memandangkan ia menjadi kubu kuat Datuk Seri Aminuddin Harun yang mempertahankan kerusi berkenaan sejak empat penggal lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 Negeri Sembilan, Aminuddin berjaya mengekalkan penguasaan di DUN Sikamat dengan kemenangan selesa sekali gus meneruskan mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu dan seterusnya dilantik semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Keputusan PRN kali ini akan menentukan sama ada Aminuddin mampu mempertahankan penguasaan beliau di Sikamat untuk penggal kelima berturut-turut atau menyaksikan perubahan landskap politik di kerusi berkenaan selepas berdepan cabaran daripada dua pencabar.

Proses pengundian di pusat mengundi IPG Kampus Raja Melewar dijangka berlangsung lancar sepanjang hari dengan SPR menjangkakan kehadiran pengundi akan terus meningkat terutama pada sebelah pagi sebelum keadaan kembali sibuk menjelang petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast