SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melaksanakan prosedur baharu pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan hari ini.
Beliau berkata, langkah itu dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran proses mengundi serta mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi.
“Saya rasa itu sebenarnya yang sepatutnya dibincangkan dahulu dengan semua calon sebelum pelaksanaan.
“Kita tidak tahu apa yang ingin dilaksanakan dan apakah yang boleh membantu sebenarnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Pusat Mengundi N.13 Sikamat di Institut Perguruan Kampus Raja Melewar di sini hari ini.
Turut mengiringi beliau calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad.
Menurut Aminuddin, walaupun matlamatnya mungkin untuk menambah baik sistem pilihan raya namun ia perlu dilaksanakan secara teliti supaya tidak menimbulkan kesan sebaliknya kepada pengundi.
Katanya, kebimbangan utama ialah kemungkinan proses pengundian menjadi lebih perlahan berikutan pelaksanaan prosedur tersebut.
“Ia sekali gus menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu lebih lama untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Kita khuatir bahawa ini akan mengganggu pengundian pada hari ini. Mungkin disebabkan ia lebih lambat.
“Nanti orang akan rasa marah. Kita hendak proses mengundi ini cepat. Kita tidak mahu pengundi menunggu lama beratur,” katanya.
Aminuddin juga berkata, pengalaman pengundi sewajarnya menjadi keutamaan dalam setiap penambahbaikan yang ingin diperkenalkan oleh SPR kerana proses pengundian perlu berlangsung secara lancar, cekap dan mudah.
“Sbarang mekanisme baharu seharusnya difahami oleh semua pihak terlibat sebelum ia dilaksanakan supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada petugas pilihan raya, ejen calon mahupun pengundi,” katanya.
Menurut Aminuddin, komunikasi jelas serta perbincangan awal dengan semua pihak berkepentingan mampu mengelakkan salah faham selain memastikan pelaksanaan sesuatu prosedur benar-benar mencapai objektif yang dihasratkan.
“Saya berharap proses pengundian di seluruh Negeri Sembilan berjalan lancar sehingga tamat waktu pengundian dan orang ramai dapat menunaikan tanggungjawab mereka tanpa sebarang kesulitan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















