SEREMBAN – Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) meramalkan pengukuhan sokongan pengundi Melayu terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sekali gus membuka peluang gabungan itu membentuk kerajaan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pegawai Eksekutif Strategi TSIS, Mohd Eikhwan M Ali berkata, laporan Penilaian Kecenderungan Pengundi Menjelang PRN Negeri Sembilan Ke-16 mendapati sokongan terhadap kerjasama BN-PN berada pada tahap amat kuat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.
Dapatan itu berdasarkan temu bual lapangan, perbincangan kumpulan berfokus (FGD), pemerhatian kempen serta pemantauan reaksi media sosial sepanjang tempoh 18 hingga 31 Julai 2026.
Oleh itu, BN–PN mempunyai peluang amat cerah untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan, katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Eikhwan berkata, dapatan laporan itu menunjukkan dapatan kemunculan gelombang penyatuan undi Melayu paling ketara apabila sebahagian pengundi yang sebelum ini menyokong BN atau PN secara berasingan kini melihat kerjasama kedua-dua gabungan tersebut sebagai formula lebih meyakinkan bagi mewujudkan kestabilan politik.
“Mereka tidak lagi sekadar menilai sejarah persaingan antara parti, tetapi menumpukan kepada keperluan mengelakkan perpecahan undi Melayu,” demikian menurut laporan TSIS.
TSIS turut mendapati, persepsi sebahagian pengundi Melayu terhadap PH menjadi antara faktor yang mendorong perubahan sokongan, khususnya berkaitan isu kepentingan Melayu, Islam, institusi Raja serta adat Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, dapatan kajian oleh TSIS itu mengakui masih terdapat cabaran dalam pemindahan undi antara penyokong BN dan PN termasuk penerimaan calon, persaingan lama serta kesetiaan tradisional kepada parti masing-masing.
“Walaupun gelombang sokongan kepada BN–PN kelihatan kuat, pemindahan undi antara penyokong kedua-dua gabungan perlu ditingkatkan dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Dalam unjuran keputusan, TSIS menyatakan BN-PN berpotensi memperoleh majoriti mudah yang selesa hasil penggabungan undi Melayu, kelemahan mobilisasi PH serta keberkesanan kempen akar umbi.
Malah, dalam senario terbaik, gabungan itu berkemungkinan mencapai majoriti dua pertiga sekiranya pemindahan undi berlaku pada tahap tinggi, calon diterima pengundi, penyokong keluar mengundi secara maksimum dan sokongan bukan Melayu kepada PH mengalami penyusutan.
Bagaimanapun, TSIS menegaskan dapatan itu bergantung kepada kemampuan jentera BN-PN mengekalkan disiplin, memaksimumkan kadar keluar mengundi serta menyelesaikan isu pemindahan undi di peringkat tempatan.
Hari pengundian yang berlangsung hari ini bakal menentukan tampuk pemerintahan Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun akan datang apabila seramai 859,750 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRN Negeri Sembilan ke-16. – MalaysiaGazette
















