MELAKA – Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mahu momentum kemenangan yang dicatatkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diterjemahkan ke Melaka menjelang pilihan raya negeri tahun ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, keputusan PRN Negeri Sembilan yang diumumkan semalam memberi suntikan semangat kepada jentera parti di Melaka untuk terus bekerja mendekati rakyat.
“Kita semalam dah dengar keputusan (PRN) di Negeri Sembilan. Cantik kan? Jadi apa salahnya kalau disimbah (kemenangan) ke Melaka sikit, boleh? Siapa yang nak menyimbah ini? Kamu oranglah yang simbah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ramah Mesra Bersama Nelayan Telok Mas sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Jeti Nelayan Tanjung Nibong di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Turut sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.
Dalam ucapannya itu, Ab. Rauf turut mengingatkan rakyat supaya terus memelihara kestabilan dan pembangunan yang dinikmati di negeri itu.
Beliau mengibaratkan kerajaan negeri sebagai ‘pohon rendang’ yang memberi teduhan serta manfaat kepada rakyat dan berharap ia terus dipelihara.
“Kita umpama pohon yang rendang. Bila pohon rendang, buahnya banyak. Hujan panas boleh berteduh, perut lapar pun boleh dimakan.
“Tapi janganlah tebang pohon ini. Baja dia, jaga dia…tak lama lagi kita nak sampai hari raya (pilihan raya negeri) dah ni (jadi) jangan fikir banyak-banyak. Kalau benda dah cantik, jaga elok-elok,” katanya.
Menurut beliau, wakil rakyat perlu menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat kerana mereka merupakan mata, telinga dan suara pentadbiran negeri di setiap kawasan.
Ab Rauf tidak mahu hanya menunggu aduan di pejabat sebaliknya memilih untuk bertemu rakyat bagi melihat sendiri isu yang dihadapi mereka.
“Sebab itu dalam program Jelajah Ketua Menteri Bersama Rakyat ini memang saya pergi cari orang kampung. Tak payah datang cari saya dekat pejabat (biar) saya datang jumpa kamu semua dan cakaplah apa masalah yang ada,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan kerajaan negeri meluluskan tambahan peruntukan RM400,000 bagi pembinaan bangsal nelayan di Jeti Tanjung Nibong selain meneruskan bantuan kepada komuniti nelayan, termasuk pemberian RM200 kepada setiap nelayan yang layak. – MalaysiaGazette
















