ATHENS – Polis Greece menahan seorang suspek yang disyaki terbabit dalam kes kematian seorang wanita warga Britain yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah beg pakaian di Athens bulan ini.
Seorang lelaki berusia 26 tahun, yang dikenal pasti sebagai warga Afghanistan, telah ditahan dan mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.
Menurut polis, kes pembunuhan seorang wanita warga United Kingdom berusia 38 tahun itu terbongkar selepas mayat mangsa ditemukan di dalam sebuah beg pakaian di sebuah bangunan terbiar di kawasan Kypseli pada 18 Julai lalu.
Suspek kini berdepan pertuduhan membunuh dengan sengaja, merompak serta melanggar undang-undang berkaitan senjata api.
Wanita itu, yang dikenal pasti media sebagai Elisabeth-Jane Ross dari Scotland, tiba di Greece pada 26 Jun dan tinggal di rumah rakannya di kawasan Piraeus sehingga 10 Julai sebelum meninggalkan lokasi berkenaan menuju ke destinasi yang tidak diketahui di sekitar Athens.
Siasatan polis mendapati suspek meletakkan mayat mangsa ke dalam sebuah beg pakaian sebelum membawanya ke bangunan terbiar tersebut.
Polis turut mendakwa suspek menggunakan kad bank milik mangsa untuk mengeluarkan sejumlah wang dalam beberapa hari selepas kejadian.
Bagaimanapun, menurut laporan media, suspek mendakwa mangsa sudah meninggal dunia ketika dia menemukannya.
Siasatan lanjut masih dijalankan. – Agensi
















