JAKARTA – Lima individu ditemukan maut manakala 41 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah feri di Indonesia yang membawa 271 penumpang dan anak kapal terbakar ketika berada di laut.
Kapten feri itu dilaporkan memaklumkan, kebakaran berlaku di perairan berhampiran Pulau Madura ketika kapal berkenaan dalam pelayaran dari Surabaya di Jawa Timur, menuju ke Makassar di Sulawesi Selatan, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas).
Rakaman yang disiarkan oleh saluran berita tempatan Indonesia, iNews, menunjukkan sejumlah besar penumpang memakai jaket keselamatan berada di atas sebuah bot penyelamat.
Beberapa rakaman lain turut memperlihatkan penumpang menuruni feri yang sedang dijilat api, dengan kepulan asap tebal kelihatan keluar dari bahagian atas kapal tersebut. – Agensi
















