SERI MENANTI – Pelantikan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan diyakini mampu membawa pentadbiran negeri ke arah yang lebih kukuh dengan memberi penekanan kepada kepentingan serta kebajikan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, beliau percaya Ismail mampu memikul tanggung jawab itu dengan penuh dedikasi dan semangat dalam menerajui pentadbiran negeri.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Ismail Lasim atas pelantikan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
“Saya amat berharap dan juga yakin beliau akan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar dengan penuh semangat,” katanya ketika ditemui selepas sidang media khas Ismail Lasim di Resort Seri Menanti di sini hari ini.
Menurut Saiful Yazan, kepimpinan baharu itu diyakini mampu meneruskan agenda pembangunan negeri serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, pengalaman dan komitmen yang dimiliki Ismail akan membantu kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Katanya, semua wakil rakyat kerajaan perlu memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada menteri besar bagi memastikan segala perancangan serta dasar yang dirangka dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, Negeri Sembilan akan terus bergerak ke hadapan dan segala amanah yang diberikan rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pelantikan menteri besar baharu sebagai permulaan kepada satu tanggungjawab besar yang memerlukan kerjasama semua pihak demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan negeri terus terpelihara.
Beliau berkata, sebagai ADUN Johol, beliau komited untuk bersama-sama menyokong segala usaha kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
Hari ini, Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi pembentukan kerajaan negeri selepas Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) memenangani Pilihan Raya Negeri ke-16. -MalaysiaGazette
















