Steven Sim.

BUKIT MERTAJAM – Steven Sim mahu seluruh jentera parti terus bersatu dan mendukung kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP bagi menghadapi cabaran politik yang dijangka lebih getir pada masa depan.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, pihaknya tetap berbangga dengan iltizam serta kepimpinan berani Anthony  yang mempertahankan kerusi berkenaan walaupun mengetahui sejak awal ia bukan satu pertandingan mudah.

“Walaupun kita tewas di DUN Chennah yang diwakili oleh saudara Anthony Loke, bagi saya kita berbangga dengan iltizam dan kepimpinan yang berani mempertahankan satu kerusi, walaupun memang kita tahu dari mulanya memang bukan mudah.

“Apa yang penting sekarang, kita perlu bermuhasabah. Kedua, terus bersatu dan berdiri teguh mendukung kepimpinan saudara Anthony sebagai Setiausaha Agung DAP untuk menghadapi cabaran-cabaran yang saya rasa akan lebih getir lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Madani Kuskop @ Padang Lalang di Taman Makok di sini, hari ini.

Mengulas keputusan PRN Negeri Sembilan, Steven yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata, DAP dan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil pengajaran daripada keputusan berkenaan bagi membuat perancangan lebih baik pada masa hadapan.

Katanya, setiap pilihan raya mempunyai pengajaran tersendiri yang perlu dinilai oleh parti dan gabungan.

“Kita sebagai parti DAP dan sebagai gabungan PH perlu muhasabah diri, mengambil pengajaran daripada PRN kali ini untuk membuat perancangan yang lebih baik pada masa hadapan.

“Pada masa sama, kita juga merakamkan penghargaan kepada pengundi Negeri Sembilan kerana mengekalkan 11 kerusi PH termasuk sembilan daripadanya DAP walaupun pertandingan kali ini bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pola pengundian kini sekarang hampir berpaksikan kaum, Steven berkata, mana-mana parti politik yang mahu membentuk kerajaan tidak boleh hanya memberi perhatian kepada satu kaum semata-mata sebaliknya wajib memastikan perpaduan serta kebajikan semua rakyat terus dipelihara.

Beliau berkata, Malaysia sejak merdeka kekal sebagai sebuah negara majmuk yang dihuni rakyat pelbagai kaum di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan justeru mana-mana parti yang berhasrat menjadi kerajaan perlu mengambil kira kepentingan semua lapisan masyarakat.

Jelasnya, usaha mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk memerlukan pendekatan yang adil dan seimbang kerana mengabaikan mana-mana kelompok hanya akan menjejaskan perpaduan.

“Tidak boleh kata hanya satu kaum sahaja yang penting. Di Pulau Pinang sekali pun, tidak boleh kata hanya orang Cina penting atau hanya orang Melayu penting atau hanya orang India penting.

“Mana-mana pemimpin yang mahu menjadi wakil rakyat atau kerajaan wajib menjaga perpaduan rakyat pelbagai kaum. Kalau mahu menjaga perpaduan, kebajikan semua kaum juga perlu dijaga.

“Dia ibarat dalam sebuah keluarga kita tidak boleh hanya memberi perhatian kepada anak bongsu sehingga mengabaikan anak-anak lain, keadaan itu tak seimbang. Jadi harus ada pendekatan menjaga keharmonian dan perpaduan semua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast