KUALA LUMPUR – Melihat landskap gastronomi semakin berkembang khususnya bidang masakan yang menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat Malaysia hari ini mendorong CTRA Production dan Peran Opera mengangkat industri makanan dan minuman (F&B) dalam pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah.
Inisiatif ini juga salah satu bentuk sokongan terhadap usaha kerajaan yang sentiasa proaktif memperkasakan dan mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga tahap profesional.
Menurut Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan, bidang kulinari tidak lagi terhad pada kemahiran memasak semata-semata, sebaliknya elemen kreativiti, seni, teknikal dan inovasi yang dipamerkan berupaya menjana pendapatan, sekali gus memperkukuhkan industri F&B negara.

“Kebiasaannya, sebut saja aktiviti memasak kita hanya membayangkan ruang dapur di rumah, sedangkan industri F&B ini luas apabila diterokai dengan sebaik-baiknya. Menerusi plartform kulinari juga anak-anak muda berpeluang menjadi cef di hotel atau restoran terkemuka, cef selebriti, bergelar usahawan produk makanan atau minuman, pengusaha restoran ataupun aktif sebagai pempengaruh makanan media sosial.
“Justeru, melihat potensi bidang kulinari bantu membina kerjaya terbaik dan popularitinya sering diangkat baik dalam drama tempatan mahupun luar negara, maka CTRA Production turut mengambil tema serupa dengan menerapkan elemen mendidik sambil berhibur,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Diarahkan oleh Aloeng Silalahi merangkap penulis skrip, Teater Muzikal Tomyam Berdarah bakal dipentaskan selama tiga hari berturut-turut di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor bermula pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026.
Antara barisan pelakon yang terbabit dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah ialah Karl Shafek dan Juhara Ayob.
Sementara itu, Aloeng Silalahi dikenali sebagai penggiat teater dengan karya-karya eksperimental dan berani menyifatkan Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan naskhah baharu dalam siri pementasan jenayah interaktif.

“Dicipta dengan gabungan naratif satira, struktur muzikal dan pendekatan site-responsive, pementasan ini merentas tema kuasa, warisan, isu toksik di tempat kerja dan nilai kemanusiaan yang terpendam di balik dapur sebuah restoran.
“Ringkasnya, Teater Muzikal Tomyam Berdarah bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti – semua itu disajikan di dalam satu periuk tomyam,” ujarnya.
Bertambah menarik, menerusi teater ini penonton cilik dan remaja berupaya membina pemikiran tangkas apabila perlu bertindak sebagai ‘penyiasat’ dalam menganalisa dan mencari jawapan, siapakah dalang sebenar!
Selain Teater Muzikal Tomyam Berdarah, CTRA Production telah menerbitkan lebih 50 teater sejak tahun 1994 di seluruh negara termasuk Singapura dan Indonesia.
Antaranya ialah Teater Muzikal Sulalaus Salatin, Cik Ros, Nyonya, Di Bawah Lindungan Kaabah, Teater Muzikal Tun Mahathir, Lantai T.Pinkie dan Teater Muzikal Ibu Zain. – MalaysiaGazette
















