SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Jakarta kerana disyaki membawa dadah telah melepasi semua proses saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Indonesia.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas tidak mengesan sebarang imej mencurigakan pada bagasi dibawa suspek sekali gus tidak memerlukan pemeriksaan sekunder.
“Suspek telah melalui semua proses saringan sebelum beliau menaiki pesawat dan berlepas ke Indonesia pada 28 Julai lalu.
“Dalam saringan yang dilakukan seperti biasa menggunakan mesin pengimbas, beg yang dibawa tidak memberi apa jua imej yang mencurigakan. Justeru, ia melepasi saringan biasa yang dilaksanakan oleh pihak keselamatan KLIA,” katanya pada sidang media di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, AKPS kini menunggu hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti bagaimana dadah jenis MDMA dan methamphetamine itu boleh melepasi saringan keselamatan.
Menurutnya, antara aspek yang sedang diteliti ialah modus operandi suspek termasuk kemungkinan bahan terlarang itu disembunyikan atau dibungkus dengan cara tertentu sehingga gagal dikesan mesin pengimbas.
Mohd Shuhaily berkata, AKPS turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), PDRM, Malaysia Aviation Group (MAG), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan agensi berkaitan bagi meneliti semula prosedur sedia ada serta mengenal pasti penambahbaikan terhadap sistem dan prosedur operasi standard (SOP).
Dalam pada itu, beliau berkata, sistem pengimbas di KLIA dibantu teknologi kecerdasan buatan (AI) namun keputusan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut tetap bergantung kepada penilaian pegawai yang mengendalikan mesin berkenaan. – MalaysiaGazette
















