Azizi Safar

KUALA LUMPUR – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mungkin berjaya menyatukan sokongan pengundi Melayu di beberapa negeri, namun formula itu masih belum mencukupi untuk menumbangkan DAP di Pulau Pinang yang mempunyai landskap politik dan demografi berbeza.

Pemerhati Politik dan Mantan Setiausaha Eksekutif BN Pulau Pinang, Azizi Safar berkata, kenyataan bahawa gabungan BN-PN mampu menawan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang terlalu optimistik tanpa mengambil kira realiti struktur pengundi negeri itu.

“Politik pilihan raya di Malaysia, terutamanya di negeri seperti Pulau Pinang, sangat bergantung kepada demografi, sejarah sokongan dan isu-isu tempatan.

“Mengatakan “formula BN-PN boleh menawan Pulau Pinang” tanpa mengambil kira struktur pengundi sebenar adalah terlalu optimistik dan tidak realistik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang berpandangan kejayaan kerjasama BN-PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan boleh diterjemahkan ke seluruh Semenanjung termasuk Pulau Pinang.

Menurut Azizi, berdasarkan anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2025, komposisi penduduk warganegara Pulau Pinang terdiri daripada kira-kira 46.2 peratus Bumiputera, 43.7 peratus kaum Cina dan 9.5 peratus kaum India.

“Ini bermakna hampir separuh pengundi di Pulau Pinang terdiri daripada masyarakat bukan Melayu, khususnya pengundi Cina yang secara konsisten memberikan sokongan kepada DAP dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata, keputusan PRN Pulau Pinang 2023 turut membuktikan corak tersebut apabila PH dan DAP terus menguasai hampir semua kerusi bandar, majoriti Cina serta kawasan campuran dengan majoriti yang besar.

“PN hanya berjaya di beberapa kawasan majoriti Melayu, tetapi gagal menembusi kubu kuat DAP di kawasan bandar. Ini menunjukkan landskap politik Pulau Pinang sangat berbeza berbanding negeri-negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu,” katanya.

Mengulas potensi kerjasama BN-PN, Azizi berkata gabungan itu mungkin mampu mengukuhkan undi Melayu di kawasan seperti Penaga, Pinang Tunggal dan Sungai Dua, namun jumlah kerusi sedemikian adalah terhad.

Sebaliknya, katanya, kawasan strategik seperti George Town, Paya Terubong, Bayan Baru, Bukit Mertajam dan Butterworth masih dikuasai DAP dan PH dengan majoriti yang sukar digugat.

“Cabaran sebenar BN-PN bukan menyatukan undi Melayu, tetapi bagaimana mahu mendapatkan keyakinan pengundi bukan Melayu. Selagi isu persepsi terhadap Pas tidak dapat diatasi, sukar untuk gabungan ini menembusi sokongan masyarakat Cina di Pulau Pinang,” katanya.

Menurut Azizi, perubahan politik sentiasa boleh berlaku, namun ia perlu disokong oleh perubahan nyata dalam corak sokongan pengundi.

“Saya tidak menolak kemungkinan landskap politik berubah pada masa depan, tetapi setakat hari ini, demografi Pulau Pinang masih memihak kepada status quo PH-DAP.

“Selagi tiada perubahan ketara dalam pola pengundian bukan Melayu, dakwaan bahawa BN-PN mampu menumbangkan DAP di Pulau Pinang masih terlalu awal untuk diperkatakan,” katanya.

Azizi mengulangi pandangannya bahawa kenyataan BN-PN mampu “kalahkan DAP” di negeri ini lebih wajar dilihat sebagai retorik politik berbanding analisis yang berpijak di bumi nyata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast