GEORGE TOWN – Seorang wanita Indonesia bersama kekasih warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia lima tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Dina Hayati, 30, yang juga ibu mangsa, dan Sany, 34, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama membunuh Ali Sahari Ali Juhar pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) di ruang tamu sebuah rumah di Lintang Merak, Sungai Dua, dalam daerah Timur Laut, kira-kira jam 9.30 pagi, pada 23 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad tidak menawarkan sebarang jaminan dan mohon masa dua bulan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA).
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan DNA.
Kedua-dua tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin dan dihantar ke penjara sementara menunggu prosiding lanjut.
Terdahulu, wanita berkenaan menangis sebaik mahkamah tidak membenarkan jaminan.
ARTIKEL BERKAITAN
Anak maut dengan kesan lebam, pasangan kekasih direman tujuh hari
Media sebelum ini melaporkan hasil bedah siasat ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mendapati mangsa maut akibat kecederaan pada kepala dan badan yang disebabkan hentakan objek tumpul.
Penderaan terhadap mangsa terbongkar selepas dia dibawa ke sebuah klinik dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh teman lelaki ibunya sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Pihak HPP kemudian membuat laporan polis selepas mendapati terdapat kesan lebam pada beberapa bahagian badan kanak-kanak itu.
Bertindak atas maklumat itu, polis menahan ibu mangsa bersama kekasihnya yang juga warga Bangladesh bagi membantu siasatan.
Difahamkan, mangsa merupakan anak hasil perkahwinan wanita warga Indonesia itu dengan seorang lelaki Rohingya yang telah meninggal dunia tahun lalu. – MalaysiaGazette
















