DUBAI – Nakhoda sebuah kapal tangki minyak di luar pesisir pantai Oman melaporkan terdengar satu letupan berhampiran kapal tersebut, menurut Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pada hari Ahad.
“Kapal dan semua anak kapal dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” kata UKMTO.
Nakhoda ialah pegawai paling kanan yang mengetuai sesebuah kapal tangki minyak.
Insiden itu berlaku kira-kira 20 batu nautika (37 kilometer) di timur laut Khasab, Oman, menurut pusat pemantauan tersebut.
“Semua kapal dinasihatkan supaya berlayar dengan berhati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan,” nasihat UKMTO.
Laporan itu dibuat pada hari Ahad ketika Iran memaklumkan ia hampir mencapai persetujuan dengan Oman mengenai laluan baharu melalui Selat Hormuz, beberapa jam selepas Amerika Syarikat membatalkan rancangan serangan besar bagi memberi ruang kepada usaha diplomatik.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei ketika bercakap kepada televisyen kerajaan memaklumkan persetujuan dengan Oman, yang terletak di seberang Selat Hormuz, hampir dimuktamadkan bagi mewujudkan laluan baharu melalui selat itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persetujuan tersebut tidak bermaksud Selat Hormuz akan dibuka semula. – Agensi
















