KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dituntut menjelaskan pendiriannya kepada rakyat susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu meneruskan kerjasama politik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar mendakwa, kenyataan itu menimbulkan persoalan mengenai komitmen BN sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, kerjasama pilihan raya dengan Perikatan Nasional (PN) sukar dijelaskan kepada rakyat memandangkan gabungan itu secara terbuka menentang Kerajaan Perpaduan dan menggerakkan kempen untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adakah UMNO dan BN masih komited sepenuhnya kepada semangat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di Putrajaya?
“Bagaimana kerjasama dengan PN dalam pilihan raya dapat dijelaskan kepada rakyat sedangkan PN secara terbuka berusaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mahfuz berkata, BN tidak boleh mengharapkan rakyat menerima dua pendirian politik yang bercanggah.
Tegas beliau, Malaysia ketika ini memerlukan kestabilan politik bagi memastikan agenda reformasi, pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Disebabkan itu, dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, keyakinan terhadap kestabilan pentadbiran merupakan aset penting negara dan sebarang tindakan yang menimbulkan persoalan mengenai kesepaduan kerajaan boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta rakyat.
Mahfuz menegaskan beliau tidak mempertikaikan hak mana-mana parti untuk menentukan strategi pilihan raya, termasuk kerjasama antara BN dan PN.
Bagaimanapun, katanya, sebagai parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan, BN bertanggungjawab memastikan tindakannya tidak menghakis kepercayaan terhadap kerajaan yang sama.
“Kerajaan dibina dengan angka, tetapi keyakinan dibina dengan konsistensi. Jika BN masih komited kepada Kerajaan Perpaduan, jelaskan bagaimana kerjasama pilihan raya dengan PN selari dengan komitmen tersebut.
“Jika pula BN berpendapat hala tuju politiknya sudah berubah, maka rakyat berhak mengetahui pendirian itu dengan jelas supaya tidak timbul kekeliruan mengenai arah politik negara,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan Malaysia memerlukan politik yang mampu membina keyakinan, bukannya menimbulkan kekeliruan, sambil menegaskan rakyat bukan sahaja menilai kemenangan dalam pilihan raya, tetapi juga konsistensi parti-parti politik dalam berpegang kepada prinsip.
“Kalau prinsip sudah berubah, jangan biarkan jawatan menjadi alasan untuk terus kekal.
“Pesan orang tua tua: “Jangan berteduh di bawah pokok yang sama, tetapi pada masa yang sama mengasah kapak pada batangnya,” katanya penuh makna. – MalaysiaGazette
















