KULAI – Seorang pemandu lori disaman kerana membiarkan beberapa penumpang duduk dan baring secara berbahaya atas muatan dibawanya semasa di Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai sebelum itu mengesan kandungan gambar dan video kejadian itu yang tular dalam Facebook pukul 5.47 petang.
“Video tular itu memaparkan beberapa individu duduk di atas muatan sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih yang sedang bergerak di Jalan Kulai-Kota Tinggi.

“Siasatan mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun yang membawa muatan dan penumpang secara berbahaya sehingga tidak mematuhi undang-undang serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat polis berjaya mengesan pemandu dan penumpang yang terlibat.
Menurut Seng Lee, semua individu sudah hadir ke IPD Kulai pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Tindakan saman ujarnya, dikeluarkan ke atas pemandu lori di bawah Kaedah 19 LN166/59 bagi kesalahan membawa muatan cara berbahaya, Kaedah 15 (d) LN177/59 bagi kesalahan tidak menjaga keselamatan penumpang, serta Kaedah 16(f) LN177/59 bagi kesalahan membenarkan penumpang yang lebih.
Pada masa sama, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
Tambahnya, polis sentiasa komited dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya, khususnya di daerah ini.- MalaysiaGazette
















