KETIDAKTENTUAN kos bahan api global memberi kesan kepada kos penjanaan elektrik.
Dalam keadaan ini, pengguna digalakkan mengurus penggunaan tenaga secara lebih cekap bagi membantu mengawal bil bulanan.
Meskipun isu kenaikan bil elektrik untuk kegunaan domestik menjadi topik perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini, orang ramai masih mempunyai pilihan untuk mengamalkan gaya hidup secara lebih berhemah.
Kerajaan terus memantau perkembangan kos bahan api dan kesannya terhadap pengguna bagi memastikan pelaksanaan mekanisme tersebut dibuat secara telus, bersasar dan mengambil kira kepentingan rakyat.
Bagi penggunaan domestik di bawah 600 kilowatt per jam (kWj) dikecualikan daripada caj pelepasan kos bahan api (AFA).
Mekanisme AFA merupakan komponen pelarasan, bukan tarif baharu dan ia kekal melindungi pengguna domestik kurang daripada 600 kWj manakala pengunaan lebih daripada itu akan terkesan.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menawarkan skim Time-of-Use (ToU) iaitu kadar tarif elektrik berbeza mengikut waktu yang mana pengguna boleh menikmati kadar lebih murah pada waktu luar puncak (Off-Peak) berbanding waktu puncak, menjimatkan bil jika pengguna mengalihkan penggunaan tenaga yang tinggi ke waktu malam.
Langkah ini membantu pengguna memahami corak penggunaan serta merancang perbelanjaan bulanan dengan lebih baik.
Sharbanun Hassan, 53 tahun
Pemilik dan pengusaha taska, Cheras
“Saya mula menggunakan Energy Budget dalam aplikasi myTNB untuk memantau bil dan menetapkan sasaran penggunaan bulanan. Di rumah, kami mengehadkan penggunaan penyaman udara pada suhu 24 hingga 25°C, menutup lampu serta kipas dan mencabut plag apabila tidak digunakan. Sejak menyertai skim ToU, saya turut mengalihkan penggunaan peralatan berkuasa tinggi ke waktu luar puncak. Gabungan langkah ini membantu mengurangkan bil sekitar RM100 sebulan dan mengelakkan pembaziran”.

Nor Fariza Mohd. Razhi, 44 tahun
Kakitangan kerajaan, penghuni rumah teres
“Selepas bil mula meningkat, saya menggunakan Energy Budget untuk memantau penggunaan rumah dan menetapkan sasaran bulanan. Kami menetapkan penyaman udara pada suhu 24 hingga 25°C, menutup suis apabila keluar dari bilik dan mencabut plag peralatan yang tidak digunakan. Melalui skim ToU, saya juga menjalankan mesin basuh pada waktu luar puncak dan hanya apabila muatannya penuh. Hasilnya, penggunaan lebih terkawal dan bil berkurang sekitar 10 hingga 20 peratus”.
Noor Azlida Alimin, 43 tahun
Kakitangan swasta, penghuni pangsapuri
“Saya mula menggunakan Energy Budget selepas diperkenalkan oleh seorang rakan dan kini lebih sedar tentang penggunaan elektrik di rumah. Sebelum keluar bekerja atau pulang ke kampung, saya menutup semua plag yang tidak diperlukan dan hanya membiarkan peti sejuk terpasang. Skim ToU juga sesuai dengan rutin saya kerana kebanyakan waktu puncak dihabiskan di tempat kerja. Pada masa sama, saya mendidik anak supaya berjimat dan memastikan penggunaan kekal di bawah 600 kWj”.

Norhamiza Khalid @ Harris, 57 tahun
Bekas kakitangan swasta dan pengusaha perniagaan, penghuni rumah tanah lot
“Walaupun saya belum menggunakan aplikasi myTNB atau mendaftar skim ToU, saya tetap mengawal penggunaan elektrik melalui rutin harian yang mudah. Pada waktu malam, saya menutup penyaman udara apabila tidak lagi diperlukan dan mematikan penapis air Coway supaya ia tidak beroperasi berterusan. Amalan ini membantu mengurangkan bil bulanan yang sebelum ini melebihi RM200. Bagi saya, perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten sudah cukup untuk membantu mengawal perbelanjaan isi rumah”.
Samsidar Kadir, 62 tahun
Pesara tentera, penghuni rumah teres
“Selepas mula menggunakan aplikasi myTNB, saya menjadi lebih peka terhadap peralatan yang menggunakan elektrik paling banyak. Kami menetapkan suhu penyaman udara hawa antara 24 hingga 25°C, mencabut plag yang tidak digunakan dan menutup lampu apabila bilik kosong. Saya juga menyemak penggunaan melalui aplikasi sebelum mengubah rutin harian. Langkah-langkah mudah ini membantu mengurangkan caj bil sekitar RM200 dan menjadikan seluruh keluarga lebih berhati-hati ketika menggunakan elektrik”.
Wang Yoke Chui, 49 tahun
Penolong Pengurus Jualan, Perolehan dan Perakaunan, penghuni pangsapuri
“Bil elektrik kami kekal sekitar RM40 hingga RM50 sebulan kerana penggunaan di rumah dirancang dengan teliti. Saya dan suami sentiasa mematikan suis serta peralatan apabila tidak digunakan. Kami juga memasak air menggunakan cerek elektrik, kemudian menyimpan lebihan air panas di dalam termos supaya tidak perlu memanaskannya berulang kali. Selain itu, kami mengelakkan mengecas telefon ketika tidur. Tempoh berada di rumah yang terhad turut membantu mengekalkan penggunaan pada tahap rendah”.
Mohammad Norshafiq Norhisham, 29 tahun
Pengguna domestik
“Langkah utama saya ialah menetapkan pemasa penyaman udara selama tiga jam ketika tidur supaya ia terpadam secara automatik. Saya juga memastikan monitor komputer ditutup apabila tidak digunakan dan menyemak anggaran penggunaan dari semasa ke semasa melalui aplikasi myTNB. Pengalaman ini menunjukkan bahawa penjimatan tidak semestinya memerlukan peralatan canggih. Perubahan kecil yang konsisten, terutama pada peralatan yang digunakan dalam tempoh lama, sudah boleh menghasilkan perbezaan pada bil elektrik”.
Pengalaman sebenar isi rumah menunjukkan mereka masih mampu mengawal caj bil elektrik menerusi penggunaan tenaga lebih cekap meskipun kos tenaga berubah mengikut keadaan pasaran global dan kadar tukaran asing mempengaruhi kos penjanaan elektrik.
Sehubungan itu, isi rumah digalakkan merancang penggunaan elektrik dengan aplikasi myTNB, Energy Budget, skim ToU, tenaga solar serta amalan cekap tenaga serta mempertimbangkan penyelesaian tenaga solar sekiranya sesuai dengan kediaman dan kemampuan masing-masing.

Pengguna turut digalakkan mengekalkan penggunaan di bawah 600 kWj sebulan manakala mereka yang menggunakan sehingga 1,000 kWj sebulan masih boleh menikmati Insentif Cekap Tenaga melalui amalan penggunaan elektrik secara berhemah.
Rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai pilihan untuk mengurus penggunaan elektrik dengan lebih berkesan dan cekap sekali gus tidak perlu membayar caj berlebihan.
Para pelanggan digalakkan mengikuti saluran media sosial TNB untuk petua-petua cekap tenaga yang terkini menerusi Facebook TNB CareLine atau X @Tenaga_Nasional atau layari https://www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks
Mereka juga boleh melayari www.mytnb.com.my/tariff untuk mengetahui kadar AFA semasa, ramalan kadar serta maklumat lanjut mengenai mekanisme tarif elektrik. – MalaysiaGazette
















