Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2026 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memaklumkan belum ada sebarang pengesahan berhubung kekosongan mana-mana kerusi DUN susulan dakwaan membabitkan status seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebaliknya, Lau Weng San menegaskan semakan menyeluruh terhadap semua wakil rakyat sedang dijalankan sebelum keputusan dimuktamadkan.

Beliau berkata, penelitian dibuat melibatkan semua ADUN tanpa mengira parti bagi memastikan tiada sebarang kemungkinan terlepas pandang sebelum sebarang pengumuman dibuat.

“Saya akan beri maklumat selepas mendapat maklumat lengkap kerana sekarang ini masih dalam proses penelitian. Perlu semak semua daripada mana-mana parti kerana kita tidak mahu terlepas sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Kerusi ADUN Selat Klang yang disandang oleh Datuk Abdul Rashid Asari dari parti Bebas kelihatan kosong ketika di Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2026 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2026.

Terdahulu, media melaporkan keputusan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi satu kerusi DUN Selangor bergantung kepada pengesahan Speaker DUN sebelum perkara itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas sama ada kerusi yang didakwa terlibat sudah dikenal pasti, Weng San berkata, perkara itu masih dalam semakan dan belum boleh didedahkan kepada umum.

Beliau turut memaklumkan, tiada sebarang maklumat rasmi dihantar kepada SPR setakat ini kerana belum ada keputusan muktamad berhubung status kerusi berkenaan.

“Kalau saya hantar, itu bermaksud ada keputusan tertentu dan perkara itu terpulang kepada SPR untuk memutuskan,” ujarnya.

Menurut beliau, semakan yang dijalankan adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam pada itu Weng San menjelaskan, ketidakhadiran seseorang ADUN ke sidang DUN tidak secara automatik menyebabkan kerusinya dikosongkan.

Katanya, kekosongan hanya boleh berlaku sekiranya seseorang ADUN gagal menghadiri persidangan Dewan Negeri selama enam bulan berturut-turut tanpa sebarang makluman rasmi, termasuk alasan seperti cuti sakit.

Sementara itu, tinjauan di Dewan Negeri Selangor hari ini mendapati, ADUN yang dikaitkan dengan isu berkenaan tidak hadir pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke-15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast