Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain bercakap kepada media ketika di Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2026 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku dalam insiden tangkapan seekor anjing liar yang mati di Taman Teluk Gedung Indah, Klang baru-baru ini.

Sebaliknya, gangguan daripada individu yang mengaku sebagai pemilik haiwan itu menjadi punca kepada kejadian tersebut, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain.

Beliau berkata, operasi tangkapan tersebut dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), termasuk penggunaan alat ‘loop’ dan jaring khas bagi menangkap haiwan liar.

Katanya, operasi pada malam kejadian berjaya menangkap 12 ekor anjing dengan kerjasama penduduk, namun kekecohan hanya berlaku ketika cubaan menangkap anjing ke-13.

“Berdasarkan penjelasan pegawai dan anggota yang terlibat, kita mematuhi SOP yang ditetapkan. Kaedah digunakan ialah ‘loop’ atau jaring seperti penangkap rama-rama.

“Anjing itu dijangka tidak akan mati sekiranya individu yang mengaku sebagai pemiliknya tidak mengganggu operasi tangkapan,” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Abd. Hamid berkata, individu berkenaan sepatutnya membuat tuntutan terhadap haiwan itu selepas ia ditangkap mengikut prosedur, namun kemudian mendakwa anjing tersebut bukan miliknya.

“Pada awalnya dia mendakwa anjing itu miliknya, tetapi kemudian mengatakan sebaliknya.

“Kita serahkan perkara ini kepada polis untuk menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat selepas siasatan selesai.

“Setakat ini, dua pegawai MBDK telah dipanggil memberi keterangan di balai polis,’ katanya.

Beliau berkata, persepsi masyarakat terhadap kaedah menangkap anjing mungkin berbeza, namun aspek keselamatan anggota penguat kuasa dan penduduk perlu diberi keutamaan kerana haiwan itu boleh bertindak agresif.

Menurutnya, penggunaan ‘loop’ sememangnya sebahagian daripada SOP, namun keadaan menjadi tidak terkawal apabila berlaku tarikan pada tali, selain ugutan mencederakan diri oleh wanita yang mendakwa memiliki anjing berkenaan.

Abd. Hamid berkata, notis mengenai operasi tangkapan telah dimaklumkan lebih awal melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT), dengan operasi itu disertai 11 anggota MBDK serta kira-kira 50 penduduk.

Katanya, tindakan tersebut dibuat susulan kira-kira 50 aduan diterima setiap bulan berkaitan anjing liar yang berkeliaran dan mengancam keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Malah, masalah ini agak kritikal dan tindakan diambil berdasarkan aduan yang diterima,” katanya.

Beliau turut mengakui MBDK berdepan kekangan menangani isu anjing liar berikutan kekurangan anggota, selain kesukaran mendapatkan syarikat swasta yang sanggup menjalankan operasi tangkapan.

‘Kita cuba mendapatkan khidmat syarikat swasta tetapi tiada yang bersedia. Sebab itu tugas ini dilaksanakan sendiri oleh kakitangan majlis.

“Jumlah anggota kurang daripada 20 orang sedangkan aduan sangat banyak dan kawasan Klang luas. Anjing pula kebanyakannya berada di kawasan industri dan perumahan serta aktif pada waktu malam, menyebabkan operasi menjadi lebih mencabar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan operasi tangkapan anjing liar oleh MBDK bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa mengugut anggota penguat kuasa menggunakan pisau serta menghalang mereka daripada menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan khianat dengan membunuh haiwan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast